Malaysia Dateline

Mahiaddin maklum usul undi percaya kepadanya September ini

Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Md Yasin berkata, satu usul undi percaya terhadap dirinya selaku Perdana Menteri akan dikemukakan pada sidang Parlimen, September ini.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu menegaskan beliau masih mempunyai majoriti ahli Dewan Rakyat.

“Saya menerima sejumlah surat akuan yang meyakinkan saya masih memiliki majoriti ahli Dewan Rakyat.

“Justeru, peletakan jawatan saya tidak berbangkit,” katanya dalam perutusan yang disiar secara langsung di saluran-saluran televisyen itu lagi.

Walau bagaimanapun, Mahiaddin mengakui kedudukannya sebagai Perdana Menteri sering dipertikai.

“Saya menyembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong, saya akan menentukan keabsahan saya di Parlimen.

“Satu usul undi percaya akan dibentangkan di Parlimen ketika Parlimen bersidang September ini,” katanya dalam perutusan khas sebentar tadi.

Untuk rekod, sidang Parlimen dijadualkan berlangsung pada September ini dengan antara lain akan menyaksikan usul bagi membahas dan mengungkai Ordinan-Ordinan Darurat.

Dalam masa sama, Mahiaddin turut memberitahu terdapat lapan Ahli Parlimen Umno yang mengemukakan surat akuan kepada Yang di-Pertuan Agong menarik sokongan terhadapnya.

Namun, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkenaan tidak memperincikan siapa Ahli Parlimen terbabit.

Terdahulu, beliau menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.

Pertemuan Mahiaddin selama hampir satu jam itu berakhir sejurus kenderaan membawanya keluar dari pintu utama Istana Negara kira-kira jam 11.50 pagi tadi.

Petang semalam, Umno mengumumkan penarikan sokongan terhadap Mahiaddin sebagai Perdana Menteri.

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan kepimpinan Perdana Menteri sudah hilang majoriti dan keabsahan Mahiaddin sebagai ketua kerajaan telah terbatal.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga mendakwa sudah mempersembahkan surat akuan Ahli-Ahli Parlimen dari Umno yang mencukupi berhubung penarikan sokongan tersebut.

Menurutnya lagi, Mahiaddin mesti mengambil tanggungjawab atas kegagalan dan keingkaran kerajaan pimpinannya yang menyanggah titah Yang di-Pertuan Agong dengan meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri secara terhormat.

Kemelut politik negara pada masa ini berlaku serentak dengan lonjakan penularan membimbangkan kes Covid-19.

Setakat semalam, terdapat 203,664 kes aktif dengan jumlah kematian sebanyak 9,598 kes manakala seramai 1,066 pesakit dirawat di ICU termasuk 537 orang daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan.

Dalam masa sama, program vaksinasi pula dilihat masih perlahan dengan hanya 44.3 peratus daripada populasi negara sudah mendapat dos pertama, manakala 22 peratus sudah melengkapkan suntikan vaksin Covid-19 sehingga 2 Ogos lalu.

Krisis politik berserta krisis pandemik dan krisis ekonomi pada masa ini dilihat mengundang kemarahan rakyat sehingga tanda pagar #KerajaanTumbang sohor kini di media sosial.