Malaysia Dateline

Mahiaddin menghadap Agong

Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin tiba di Istana Negara bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pagi ini.

Kenderaan membawa Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berserta polis pengiring, dilihat memasuki pintu satu Istana Negara sekitar jam 10.53 pagi tadi.

Selesai menghadap baginda, Muhyiddin dijadual ke pejabatnya di Putrajaya untuk mempengerusikan mesyuarat Kabinet jam 12 tengah hari.

Difahamkan sebelum itu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkenaan akan mengadakan satu sidang media di Putrajaya.

Sehingga tengah malam tadi, Mahiaddin mengadakan pertemuan selama kira-kira empat jam dengan sebahagian menteri kanan Kabinet dan pegawai tertinggi kerajaan termasuk Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun di kediamannya di Bukit Damansara.

Petang semalam, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberitahu sudah mempersembahkan surat akuan Ahli-Ahli Parlimen dari partinya yang mencukupi kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung penarikan sokongan terhadap Mahiaddin sebagai Perdana Menteri.

Ekoran pengumuman Umno itu, kerajaan PN hanya mempunyai 103 sokongan Ahli Parlimen manakala 117 Ahli Parlimen lagi berada di blok pembangkang.

Seramai 26 Ahli Parlimen Umno masih belum menyatakan pendirian sama ada mengikut keputusan parti atau PN manakala 12 Ahli Parlimen Umno menolak PN.

Setakat 3 Ogos, PN mendapat sokongan Bersatu dengan 31 kerusi Parlimen manakala Pas dan Gabungan Parti Sarawak atau GPS masing-masing 18 kerusi.

Turut masih bersama PN ialah Bebas (4), MCA (2) manakala satu kerusi masing-masing dari MIC, PBRS dan PBS.

Bagi blok pembangkang pula, selain sokongan 12 Ahli Parlimen Umno juga didukung Pakatan Harapan (PH) dengan 89 kerusi iaitu DAP (42 kerusi), PKR (36 kerusi) dan AMANAH (11 kerusi).

Turut berada di blok pembangkang ialah Warisan (lapan kerusi), Pejuang Tanah Air atau Pejuang (empat kerusi) dan Parti Sarawak Bersatu (PSB) dengan dua kerusi.

Sementara itu, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dari Parlimen Muar dan Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dari Parlimen Tuaran masing-masing menyumbang satu kerusi kepada blok pembangkang.