Permohonan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Yassin untuk mendapatkan pelepasan pasport sementara akan didengari di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, esok.
Mahiaddin yang berdepan tiga tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM200 juta itu membuat permohonan tersebut bagi menghadiri majlis pembukaan restoran rakannya di Bangkok, Thailand.
Berdasarkan afidavit sokongan permohonan yang difailkan pada 31 Januari lalu, Mahiaddin memohon pelepasan sementara pasport antarabangsa miliknya sehingga 23 Februari ini, lapor Malaysia Kini.
“Seorang kenalan rapat saya yang juga warganegara Malaysia baru buka sebuah restoran masakan Thai.
“Restoran tersebut mahu dirasmikan dan mereka menjemput saya bagi acara pembukaan tersebut sebagai tanda penghargaan, sebagai pemimpin negara Malaysia,” katanya memetik laporan Malaysia Kini.
Presiden Bersatu itu juga dikatakan mahu melawat beberapa pemimpin, pemikir dan tokoh masyarakat Islam di Bangkok bagi kesinambungan hubungan di luar lingkungan kerajaan.
Walau bagaimanapun, pihak pendakwaan membantah permohonan tersebut kerana alasan yang diberikan Presiden Perikatan Nasional itu tidak munasabah dan tiada keperluan mendesak.
Menerusi afidavit balasan pihak pendakwaan, Timbalan Pendakwa Raya Zander Lim Wai Keong berkata berdasarkan tiket penerbangan, Mahiaddin akan bertolak ke Bangkok pada 4.20 petang, 15 Februari ini.
Sedangkan, Mahkamah Sesyen telah menetapkan tarikh sama untuk pendengaran permohonan pihak pendakwaan bagi menangguhkan perbicaraan dan permohonan Mahiaddin bagi membatalkan tiga pertuduhan dihadapinya.
Lim juga berpendapat bahawa risiko Mahiaddin untuk melarikan diri masih lagi wujud kerana masih berdepan tiga lagi pertuduhan pengubahan wang haram dan pasport antarabangsanya tidak boleh dilepaskan.
“Kehadiran pemohon pada prosiding itu adalah wajib. Perkara ini ada dalam pengetahuan penuh pemohon tetapi pemohon masih membuat tempahan tiket penerbangan pada tarikh tersebut.
“Saya sesungguhnya percaya bahawa permohonan pemohon ini akan mengganggu proses perjalanan pendengaran bagi kedua-dua permohonan yang ditetapkan pada 15 Feb ini serta menyusahkan proses mahkamah.” Katanya.
Difahamkan, permohonan pelepasan pasport sementara ini bakal didengarkan di Mahkamah Sesyen di hadapan Hakim Azura Alwi kira-kira pada pukul 9 pagi, esok.
Pada 29 November tahun lalu, Mahkamah Sesyen pernah melepaskan dokumen itu secara sementara bagi percutian Mahiaddin bersama keluarga di London, United Kingdom dan pemeriksaan kesihatan di Singapura.
Ahli politik berusia 76 tahun itu berdepan dengan dua pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank milik Bersatu.
Perbuatan itu didakwa dilakukannya di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral di sini, antara 25 Februari dan 16 Julai 2021 serta 8 Februari dan 8 Julai 2022.
Mahiaddin juga dihadapkan dengan pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM5 juta di mahkamah tersebut untuk dibicarakan bersama selepas kes itu dipindahkan dari Mahkamah Sesyen Shah Alam.
Baca juga: Gara-gara kantoi menyondol suami orang, gelaran ratu cantik ini ditarik balik!