Mahiaddin nafi ditahan, PN adakan solat hajat

Oleh KIM SYAZIE

Setiausaha akhbar Tan Sri Mahiaddin Yassin menafikan bahawa presiden Perikatan Nasional (PN) itu ditahan semalam.

Mahiaddin dikatakan ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika sedang bermain golf.

Walaupun dakwaan tersebut disangkal, pemimpin parti itu bagaimanapun menyeru ahlinya untuk menyertai program solat sunat hajat.

Ahli Majlis Tertinggi PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menyeru ahlinya menyertai program tersebut sebagai tanda solidariti kepada presiden parti itu.

Program tersebut bakal diadakan di Pusat Tarbiyah Pas Pusat di Taman Melewar, Gombak pada 7 malam ini.

“Dimaklumkan PAS PUSAT dan PERIKATAN NASIONAL PUSAT akan mengadakan program di atas dengan kendalian oleh Dewan Ulamak PAS PUSAT.

“Dengan ini mengarahkan Ahli-ahli dan Penyokong PAS/PN khususnya di Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan untuk hadir,” katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan Program Solat Sunat Hajat

Tidak mengakui dirinya ditahan, Mahiaddin bagaimanapun mengesahkan beliau dipanggil SPRM hari ini untuk memberi keterangan.

Terdahulu, SPRM telah membekukan beberapa akaun milik BERSATU kerana disyaki mempunyai kaitan dengan penyelewengan dana kerajaan.

Baca juga: Setiausaha akhbar nafi Mahiaddin ditahan ketika main golf