Malaysia Dateline

Mahiaddin: Pengkhianat yang lupa daratan

Bukan main bongkak lagi kenyataan Mahiaddin @ Muhyiddin Yasin bahawa tak kan Malaysia hendak memilih Perdana Menteri bekas banduan atau dari kluster mahkamah. Pengkhianat yang sangat tidak jujur ini yang pernah dikutip oleh Pakatan Rakyat (sebelum Pakatan Harapan dibentuk PKR, Amanah, DAP dan UPKO) ketika sedang mengemis menagih simpati untuk mendapat tempat dipentas politik.

Sesungguhnya amat bongkak sekali kenyataan Mahiaddin, tidak menelek sisi hudoh pengkhianatan beliau. Ketika beliau terpinggir dan tersingkir dari UMNO/BN beliau pernah mengemis supaya diberi ruang untuk berada dipentas politik. Beliau diberi ruang oleh Pakatan Rakyat khususnya PKR.

Beliau menggunakan ruang itu untuk menjelaskan kononnya penganiyaan terhadap beliau dalam isu 1MDB. Padahal isu 1MDB bukanlah buah tangan beliau, ia mula didedah oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Sdra Rafizi Ramli (Timbalan Presiden PKR). Mahiaddin hanya menagguk diair keroh. Sekutunya sendiri iaitu Pas telah menyatakan “kami berpuas hati dengan penerangan Arul Kanda”. Bukankah pelik sekutu bersama sekutu berbeza fatwa dalam urusan 1MDB. Seperti biasa pengemis ini hanya mengambil milleage (kesempatan) dari pendedahan yang dibuat melalui sumber-sumber perolehan PH.

Beliau bersama Tun Mahathir kemudian telah menubuhkan Bersatu, bagi ‘konon’nya menyaingi bekas partinya Umno/BN dan kononnya untuk membenteras penyelewengan dan kleptokrasi. Ketika PRU14, Mahiaddin dan Bersatu sebenarnya tidak mempunyai jentera. Jenteranya kecil dan lemah. Beliau dan partinya menumpang dan menenggek pada kekuatan jentera PKR, AMANAH dan DAP! Ini berlaku diseluruh negara.

Jenama BERSATU hampir tiada dalam lanskap politik negara. Jenamanya hanya jelmaan daripada Umno/BN yang diubah sedikit warna dan rasa. Keanggotaan utamanya juga dari pelarian Umno/BN yang tidak mendapat tempat utama dalam Umno/BN atau juga mereka yang menjadi juara lompat pasca PRU14 kerana ‘dengar-dengar’nya juga ada ‘kes’ untuk menghadapi pendakwaan.

Sosok pengkhianat yang suka mengambil kesempatan ini, juangnya hanya untuk menjadi Perdana Menteri dan kedudukan. Beliau berjaya tetapi beliau merupakan PM yang sangat lemah. Berjaya itu kerana usaha pengkhianatan, tetapi pengurusan dana kerajaan, dasar fiskal, pengurusan PKP semuanya gagal.

Banyak perkara tidak terjawab ketika pengkhianat ini menerajui kerajaan seperti ketelusan peolehan vaksin, mengapa PKP yang terlalu panjang, persoalan nisbah kematian atas sebab Covid-19 begitu tinggi berbanding jumlah rakyat negara ini dan kenapa ‘darurat politik’ di isytiharkan. Semuanya tiada jawapan yang telus, melainkan penafian demi penafian. Menterinya juga telah memberi kenyataan yang ‘misleading’ diparlimen dan mendahului SPB YDA dalam proses pengangkatan proklamasi darurat yang menjadi kuasa Seri Paduka Baginda.

Mengkhianati sekutu yang mengutip beliau dari pinggiran jalanan politik, merupakan jenamanya. Dengan mempromosi naratif dan dzikir “kerajaan Melayu Islam” dan sekutunya Pas dengan dzikir “DAP komunis” sebagai dzikir dan munajatnya yang paling afdhal. Penggunakan jenama kerajaan Melayu-Islam sedang hakikatnya semua itu hanya topengan kepalsuan politik penggerak Langkah Sheraton ini.

Pengkhianat perjuangan ini yang gemar mengambil kesempatan yang tidak sedar diri ini, pernah mengemis dan mengendeng supaya diterima oleh parti nama besar PKR, DAP dan AMANAH. Ketika PRU14 diisytiharkan, beliau dan partinya menyertai gabungan baharu Pakatan Harapan. Gerakerja dalam PRU ini hampir 85% didokong oleh jerih payah petugas-petugas PKR, AMANAH, DAP dan orai-otai reformasi. Beliau hampir tiada jentera sendiri dan ini berlaku diseluruh negara!

Kegagalan mengurus pandemik bersama sekutunya UMNO dan PAS juga merupakan bebanan bagi beliau. Pemerolehan vaksis yang dikatakan melibatkan kroni seperti didakwa merupakan tadbir urus kesihatan yang wajib diaudit. Siapa yang mendapat kontrak perolehan vaksin, jumlahnya, harganya berbanding harga diperingkat antarabangsa merupakan ketelusan yang wajib dituntut oleh rakyat.

Perisytiharan dan perungkaian darurat kesihatan adalah tindakan menyelamatkan hayat politik bagi yang mempromosi diri sebagai PM sekali lagi. Ketika proklamasi darurat hendak diangkat, rakyat dan negara menyaksikan bagaimana parlimen diberikan maklumat yang salah (misleading) sedang Seri Paduka Baginda YDP mahu ia di bincang dan dibahaskan diparlimen. Namun beliau dan sekutunya bertindak mengingkari titah YDA. Tidakkah ini durhaka namanya!

Jadi mengangkat beliau kembali sebagai PM adalah langkah terkebelakang dari sudut pemulihan ekonomi, kejujuran, integriti dan pembentukan kerajaan dengan tatakelola baik. Mana mungkin pengkhianat mandat rakyat ini mampu berlaku adil kepada rakyat sedang beliau gagal berlaku jujur kepada proses demokrasi Mana mungkin seorang yang dikutip dijalanan politik mengkhianati penyelamat politiknya. Tangan yang memberi nyawa politik kepadanya, digigit dan dimamah untuk berkuasa. Sedang kemampuannya tiada dan sengatan politiknya hanyalah sengatan pengkhianatan dan kerakusan berkuasa.

Mahukah rakyat mengangkat sekali lagi seorang yang gagal dalam mentadbir negara sebagai PM. Lupakan sahaja. Kita memerlukan pemimpin yang berlandanskan kekuatan dan amanah. Pemimpin yang mampu mengarus-perdanakan kembali negara di Rantau Asia dan kembali menjadi Harimau Ekonomi Asia.

Kita mahu pemimpin yang jujur serta bersih dari DNA pengkhianat dan DNA kronisma/ nepotisma yang jijik dan kotor. Pada tahun mendatang Mahiaddin dan setutunya PAS dengan ‘track record’ sediada tidak akan mampu menangani krisis ekonomi, keselamatan makanan, dasar mikro dan makro ekonomi untuk lima tahun dan seterusnya. Bajet dan dasar ketika beliau memerintah sangat lemah dan tidak mampu pun menyaingi kekuatan ekonomi baharu seperti Indonesia dibawah Presiden Jokowi. Untuk menyaingi negara Singapura, jauh sama sekali.

Dasar dan polisi membenteras rasuah telah melonjakkan kekuatan ekonomi Indonesia dan penghijrahan industri utama dunia ke Indonesia dalam bidang ICT, automotif dan pengkalan data raya (Big Data Centre) membuktikan Malaysia dibawah Mahiaddin selepas berlakunya Langkah Sheraton adalah sebuah kerajaan gagal dan tidak dipercayai lagi oleh pelaboran antarabangsa. Yang ada hanya retorik politik untuk mengabui mata rakyat.

Negera perlu kembali kepada kegemilangannya. Pengkhianat dan sekutunya tidak harus mendapat undi untuk kembali berkuasa. Mengundi mereka dan PN bermakna mengundi kepada kemunduran, mengundi kepada pengkhianatan, mengundi kepada perkauman sempit dan mengundi kepada penunggang agama.


Penulis merupakan Fellow Islamic Academy of Science, yang berpengkalan di Jordan. Penulisan ini merupakan pendapat dan pandangan penulis dan bukan melambangkan pendirian akademi.