Malaysia Dateline

Mahiaddin perlu buktikan sokongan majoriti pada 26 Julai ini, kata penganalisis

Kenyataan jemaah menteri yang mengumumkan mengekalkan sokongan mereka kepada Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Md Yasin, tidak memberi apa-apa signifikan kerana sokongan majoriti bukan ditentukan oleh menteri, tetapi 220 Ahli Parlimennya.

Penganalisis politik, Profesor Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff berkata, jika tujuan pengumuman adalah untuk menunjukkan Mahiaddin mempunyai majoriti, itu sama sekali tidak menjawab persoalan asas yang menjadi perdebatan sekarang, iaitu sama ada perdana menteri mempunyai majoriti untuk terus berkuasa atau tidak.

Justeru katanya, sidang Parlimen yang akan diadakan pada 26 Julai nanti merupakan peluang terbaik bagi Mahiaddin membuktikan beliau mendapat sokongan di Dewan Rakyat.

“Apa signifikannya apabila kesemua menteri menyatakan sokongan penuh kepada Perdana Menteri? Bagi memenuhi konsep tanggungjawab kolektif, wajar sahaja semuanya menyokong.┬áJika tidak, menteri yang berseberangan perlu meletakkan jawatan.

“Di pihak kerajaan, ini peluang terbaik untuk menguji sokongan majoritinya.┬áDalam keadaan negara menghadapi pelbagai isu kesihatan dan ekonomi, kerajaan perlu mengesahkan legitimasinya dan mengembalikan fungsi Parlimen.

“Legitimasi kerajaan ini penting bagi memulihkan keyakinan rakyat kepada kerajaan, meyakinkan pelabur dan pasaran, menghentikan politiking dengan tekaan jajaran parti baharu, menghentikan spekulasi Ahli Parlimen A atau B menyokong siapa, dan menstabilkan politik negara,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya pagi ini.

Sementara itu Mohammad Agus berkata, pertanyaan tentang siapa yang akan menang di Dewan Rakyat nanti tidak relevan untuk difikirkan.

Sebaliknya beliau menyarankan agar diserahkan kepada kebijaksanaan Ahli Parlimen bagi memikirkan parti mana, siapa dan kerajaan mana yang terbaik untuk negara kerana mereka yang mempunyai kuasa mengundi.

Bagaimanapun Pensyarah Sains Politik UKM itu berpendapat, ketika ini adalah tidak sesuai untuk diadakan pilihanraya mengambil kira perkembangan semasa peningkatan kes Covid-19.

“Jika begitu, apakah tujuan saya menulis pandangan ini? Secara sederhana, dua sahaja, iaitu: (i) meminta kerajaan menyelesaikan masalah legitimasi ini dengan menguji sokongannya di Dewan pada 26 Julai nanti.

“Dan (ii) meminta kerajaan membuka Parlimen kerana data menunjukkan darurat tidak berkesan untuk mengawal Covid-19,” ulasnya.