Malaysia Dateline

Mahiaddin perlu letak jawatan, Covid-19 bertambah baik sejak As tukar Presiden

Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin perlu meletakkan jawatannya segera selepas negara sekali lagi merekodkan kes positif tertinggi pada semalam yang menghampiri 20,000 kes sehari.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang membandingkan Malaysia dengan Amerika Syarikat apabila AS mencatatkan keadaan wabak Covid-19 yang lebih baik sejak pelantikan Presiden baru negara itu, Joe Biden.

“Sejak pelantikan Presiden Biden pada Januari tahun ini, keadaan wabak Covid-19 di Amerika Syarikat dalam tujuh bulan terakhir telah bertambah baik.

“Sehinggakan ada hari di mana AS mencatatkan lebih sedikit kes harian atau kematian akibat Covid-19 berbanding Malaysia.

“Bagaimanapun untuk masa yang agak lama, Malaysia mencatatkan lebih banyak kes harian per sejuta penduduk dan kematian per sejuta penduduk yang lebih tinggi berbanding AS,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama Lim berkata, pelan Mahiaddin membendung wabak Covid-19 terbukti telah gagal sepenuhnya.

Ini termasuklah kegagalan darurat yang diisytiharkannya apabila selama enam bulan negara menyaksikan kes Covid-19 meningkat lima kali ganda dengan kematian yang meningkat sebanyak 16 kali.

“Kita sepatutnya beralih ke Fasa 3 pada bulan September dan Oktober dengan nilai ambang adalah kurang dari 2,000 kes Covid-19 sehari.

“Tetapi kita berada di arah yang berlawanan dengan sepuluh kali ganda dan akan memecahkan angka 20,000 untuk kes baru setiap hari,” katanya lagi.

Semalam, Malaysia mencatat rekod baharu dengan 19,819 kes harian Covid-19.

Negara turut merekodkan 257 kematian Covid-19, 1,069 orang dimasukkan ke unit rawatan rapi dan 210,000 kes aktif Covid-19.