Malaysia Dateline

Mahiaddin rakam sejarah PM gagal, curi mandat rakyat

Presiden AMANAH Mohamad Sabu menegaskan peristiwa pengkhianatan melanggar demokrasi negara sebagaimana terjadi pada hari ini tidak harus dibiarkan berulang.

Apatah lagi katanya, mandat rakyat melalui pilihan raya juga tidak wajar dipermainkan dengan mencuri dan melompat parti di tengah jalan.

“Tiada jalan lain kepada pengkhianatan ini melainkan kembali ke pangkal jalan dan berusaha memperbaiki kesilapan tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Mohamad berkata, Mahiaddin Md Yassin adalah salah seorang watak dalam peristiwa pengkhianatan ini bersama rakan-rakannya menyebabkan jatuhnya sebuah kerajaan yang dipilih secara sah oleh rakyat Malaysia melalui pilihan raya.

Kini, katanya atas pengkhianatannya yang lalu sejarah akan merakamkan bahawa Mahiaddin adalah seorang Perdana Menteri yang gagal, mencuri mandat dari rakyat Malaysia.

“This is the biggest evil.

“Jika dalam peperangan, sejarah menukilkan bahawa pengkhianat ini biasanya dihukum bunuh.

“Ini kerana pengkhianatan mereka merosakkan sistem demokrasi

“Apa akan terjadi jika 40 orang ahli parlimen berjaya dibeli oleh kuasa luar setiap penggal? Tentunya kedaulatan negara akan tergadai,” kata beliau.

Sejak merdeka 1957, negara telah melalui sebanyak 14 kali pilihan raya umum sebagai satu proses pemilihan kepimpinan negara.

Parti-parti politik bersaing merebut pengaruh dan mendapatkan sebanyak mungkin sokongan daripada rakyat. Parti yang mendapat paling banyak undi dikira pemenang.

Parti atau gabungan yang mempunyai paling ramai wakil akan membolehkan mereka membentuk kerajaan, sementara pihak yang kalah akan berusaha lagi mendapatkan sokongan dalam pilihan raya berikutnya.

Amalan ini telah diterima pakai oleh rakyat sejak merdeka. Sekalipun masih memerlukan penambahbaikan, namun secara umumnya itulah sistem demokrasi yang diterima oleh semua.

Justeru jelas Mohamad kerajaan yang diakui oleh mereka sendiri dibentuk secara ‘tebuk atap’ dengan mencuri mandat rakyat ini bakal rebah ternyata bukan sebuah kerajaan yang stabil malah ianya adalah sebuah kerajaan yang gagal.