Malaysia Dateline

Mahiaddin sokong Ismail hanya mahu gelapkan fakta PN gagal

Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin berkata Tan Sri Mahiaddin Md Yassin menyokong Ismail Sabri Yaakob menjadi Perdana Menteri sekadar satu cubaan terdesak untuk menggelapkan fakta atau mengalihkan perhatian masyarakat terhadap kegagalan Kerajaan PN di bawah beliau.

Menurut Khaled hakikatnya, kejatuhan PN adalah disebabkan oleh desakan ketidakyakinan rakyat dan ia antara sebab penarikan sokongan oleh Umno.

“Saya mengikuti kenyataan dari petikan ucapan Tan Sri Muhyiddin Yasin yang menjelaskan bahawa beliau sebenarnya menyokong Dato’ Seri Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri kerana tidak mahukan Pakatan Harapan (PH) kembali berkuasa dengan sokongan kumpulan kleptokrat.

“Dan atas dasar ingin memastikan Perikatan Nasional kekal berkuasa, maka beliau pun memberikan sokongan kepada wakil dari Umno tersebut,” kata beliau.

Kata Khaled, Mahiaddin sebenarnya sedar bahawa pendirian untuk menganggap Umno secara umum sebagai pendukung kleptorat adalah tidak benar, malah sangat bercanggah dengan kesanggupan beliau yang kini kembali bekerjasama dengan ramai wakil Umno.

Penolakan Mahiaddin kepada PH dan sebahagian pemimpin Umno katanya adalah bermusim dan sangat bersifat acuh tak acuh.

“Ini kerana, Perdana Menteri yang beliau sokong telah memutuskan untuk bekerjasama dengan pemimpin-pemimpin PH atau pembangkang yang lain sebagai satu pendekatan baharu.

“Dan tidak terdapat sebarang bangkangan dari beliau dalam hal ini,” ujarnya lagi.

Justeru, jelas Khaled pemimpin tertinggi Bersatu sebenarnya tidak mempunyai pendirian yang jelas dan tetap sebaliknya Mahiaddin selesa menukar-nukar pegangan semata-mata untuk menjustifikasi tindakannya yang mahu kekal berada dalam kerajaan.

Malah, Khaled percaya ini adalah satu cubaan terdesak untuk kini tampil sebagai penyelamat Malaysia.

“Adalah jelas bahawa Mahiaddin sekadar memberi helah dan mahu mengelirukan kita. Dah diberi ruang dan peluang bertaraf Menteri, fokuskan sajalah kepada peranan dan tanggungjawab baru yang telah di beri,” bidas Khaled.

Dalam ucapan ulang tahun ke-5 Bersatu, Mahiaddin mendedahkan Pakatan Harapan (PH) dengan sokongan kumpulan kleptokrat berkemungkinan kembali menjadi kerajaan sekiranya beliau tidak menetapkan pendirian dalam pemilihan Perdana Menteri baharu.

Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, jika beliau dan ahli-ahli Parlimen Bersatu tidak mengambil apa-apa pendirian dalam pemilihan Perdana Menteri baharu dan pembentukan kerajaan juga, Bersatu mungkin akan menjadi pembangkang.