Malaysia Dateline

Mahiaddin sudah hilang sokongan waktu tawar kerjasama, tiada keperluan untuk bersetuju

Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub menjelaskan pendirian Pakatan Harapan yang pernah menolak tawaran Tan Sri Mahiaddin Md Yasin untuk bekerjasama sewaktu bekas Perdana Menteri itu sudah kehilangan sokongan majoriti Ahli-ahli Parlimen.

Beliau berkata, waktu itu Mahiaddin sudah jelas kehilangan sokongan majoriti dan tawaran dibuat Ahli Parlimen Pagoh itu hanya mahu menyelamatkan talian hayatnya sebagai perdana menteri.

Bagaimanapun menurutnya, tawaran kerjasama bersama kerajaan Ismail Sabri kali ini hanyalah berteraskan rakyat semata-mata dan bukan politik.

“Waktu Mahiaddin tawarkan pakej, dia telah hilang sokongan sebagai perdana menteri. Hilang sokongan dari Umno. Jadi takkan lah kita nak ‘deal’ dari orang yang dah hilang sokongan. Dia buat hanya untuk mengekalkan hayat. Sebab itu kita lihat tak ada keperluan mendesak untuk bekerjasama.

“Sekarang kerajaan tawar kerjasama, tapi kita tak mahu jawatan. Kita tak minta jawatan menteri, timbalan mentri, atau kedudukan GLC.

“Tidak ada sepatah permintaan itu. Kalau perhatikan enam syarat pembangkang itu, terasnya adalah rakyat,” jelasnya dalam perbincangan agenda Awani malam ini.

Justeru katanya, semua pihak perlu melihat secara objektif bahawa persetujuan kerjasama PH tidak melibatkan sebarang dwi standard kerana ketika ini gabungan itu hanya menawarkan kestabilan politik kepada kerajaan.