Malaysia Dateline

Mahiaddin tak malu ‘beli sokongan’ ahli parlimen secara terbuka

Wanita Pakatan Harapan menegaskan bahawa tujuh cadangan yang dikemukan Tan Sri Mahiaddin Md Yassin semalam merupakan gagasan yang terkandung dalam Manifesto Pakatan Harapan dalam PRU14.

Menurutnya, sebahagian cadangan itu telah pun dimulakan usaha pelaksanaannya sepanjang pentadbiran PH 22 bulan, sebelum kemudiannya tergendala akibat langkah pengkhianatan yang dipimpin oleh Tan Sri Mahiaddin dan Azmin Ali.

“Adalah suatu yang sangat malang dan memalukan apabila Tan Sri Mahiaddin Yasin yang secara terbuka telah mengakui hilang sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat, telah cuba pula “membeli sokongan” ahli-ahli parlimen dengan tawaran seperti ini,” kata Wanita PH.

Ini katanya sekaligus menzahirkan betapa Perikatan Nasional sebagai sebuah kerajaan gagal dan masih tidak malu untuk menormalisasikan tindakan rasuah yang ditonton terbuka oleh sekalian rakyat di seluruh negara semata-mata untuk terus kekal mempertahankan jawatan masing-masing.

“Keutamaan yang sepatutnya diberikan tumpuan adalah menyelamatkan negara dan rakyat daripada terus menjadi mangsa kepada pentadbiran yang gagal ini, dan segera melaksanakan pelan pemulihan yang lebih wibawa, holistik serta diperlukan oleh rakyat dan negara,”katanya lagi.

Wanita Pakatan Harapan memberi sokongan teguh kepada pendirian Majlis Presiden Pakatan Harapan untuk menolak sekerasnya segala tawaran dari Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Kami mendesak agar Tan Sri Mahiaddin Yasin berundur segera secara terhormat selari dengan Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan agar seorang Perdana Menteri yang sudah kehilangan sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat hendaklah meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.

“Tujuh cadangan beliau itu boleh dilaksanakan dengan lebih baik dan holistik oleh kerajaan baharu yang lebih inklusif dan progresif bersama Pakatan Harapan.

“Tan Sri Mahiaddin Yasin sendiri sebagai salah seorang ahli Dewan Rakyat boleh sama-sama memberi sokongan untuk kita menjayakan ketujuh-tujuh cadangan yang beliau lontarkan, sekaligus menjayakan manifesto PH,” katanya dalam kenyataan.