Malaysia Dateline

Mahiaddin, Takiyuddin kena tanggungjawab jika tiada bahas di Parlimen minggu depan

Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Md Yasin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-undang dan Parlimen) Datuk Seri Takiyuddin Hassan, akan dipertanggungjawabkan dengan janji mereka bahawa akan ada perbahasan apabila Parlimen bersidang semula.

Ahli Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, ini susulan kenyataan Takiyuddin pada semalam yang menjanjikan bahawa Ahli-ahli Parlimen akan diberikan ruang untuk berbahas dalam persidangan khas Dewan Rakyat.

“Kita tidak mahu cakap lain buat lain. Jadi mari kita tunggu Mahiaddin dan Takiyuddin memenuhi janji mereka pada Isnin depan.

“Setakat ini, persidangan khas selama lima hari ini amatlah luar biasa kerana saya tidak mengetahui mengenai mana-mana Parlimen di seluruh dunia yang memanggil sidang khas Parlimen selama lima hari yang hanya mengandungi sesi kenyataan menteri.

“Saya bersedia untuk dibuktikan salah oleh Mahiaddin atau Takiyuddin,” katanya dalam satu kenyataan pagi ini.

Pada semalam, Takiyuddin dilaporkan berkata bahawa perdana menteri telah menulis surat kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Dewan Negara supaya Ahli-ahli Parlimen dibenarkan untuk berbahas dan mengemukakan persoalan.

Sementara itu Lim mencadangkan agar persidangan kali ini diadakan dengan format berbeza di mana setiap satu kenyataan yang disampaikan menteri, terus dibahaskan bagi membolehkan Ahli-ahli Parlimen mendapatkan penjelasan dan juga menyatakan pendapat mereka mengenai perkara yang dibangkitkan.

Beliau berkata, kenyataan menteri itu kemudiannya boleh digulung di akhir persidangan, dengan memberikan jawapan kepada penjelasan yang diminta dan pandangan yang dibangkitkan.

Beliau juga mencadangkan agar setiap perbahasan mengenai Proklamasi Darurat dan Ordinan-ordinan Darurat perlu disusuli dengan undian.

“Memandangkan tidak ada waktu pertanyaan jawab lisan, setiap hari persidangan akan mempunyai enam jam waktu perbahasan.

“Yang Dipertua Dewan Rakyat perlu memaklumkan Ketua Pembangkang Parlimen, berapa ramai Ahli-ahli Parlimen blok itu yang akan diberikan ruang untuk menyertai perbahasan setiap hari supaya persiapan boleh dibuat terlebih dahulu.

“Malah, setiap kenyataan menteri ini sepatutnya diedarkan kepada Ahli-ahli Parlimen terlebih dahulu walaupun di bawah embargo, untuk membolehkan adanya perbahasan yang lancar dan efisien,” ulasnya.