Malaysia Dateline

Mahiaddin tidak rasa tercabar dengan tindakan terbaharu Shahrir, Puad?

Berikutan kenyataan Mahiaddin Md Yasin bahawa beliau boleh menekan ‘button’ pada bila-bila masa jika ingin menjatuhkan kerajaan negeri Johor, pimpinan Umno negeri itu nampaknya terus mengasak beliau agar berani berbuat demikian.

Tujuannya ialah agar beliau bukan sekadar “sembang kari” atau hanya berani melabel “bodoh” saja, tetapi mesti berani sama membuktikan kata-katanya itu.

Umno, khususnya Umno Johor dalam hal ini bukan saja ingin menunjukkan permusuhan yang semakin nyata kepada Bersatu, malah seperti sudah sedia bila-bila masa untuk berdepan pilihan raya.

Ahli MT Umno dan Ketua Umno Bahagian Batu Pahat, Dr. Puad Zarkashi dalam responnya berkata, Mahiaddin sebenarnya amat takut untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Umno di Johor, walupun tampak macam berani untuk menekan “button” pada bila-bila masa.

Ini kerana, katanya, jika berlaku PRN di Johor, Bersatu tidak mungkin menang satu kerusi pun di negeri itu.

“Itu yang Mahiaddin takut,” ujar beliau.

Dalam erti kata lain, bagi Dr. Puad, kenyataan Mahiaddin berkenaan hal tersebut tiada apa-apa pun sebenarnya kerana Bersatu tidak mahu kehilangan kuasa yang sedang dikongsi bersama di Johor sekarang ini.

Shahrir Samad pula, yang semalam dilabel “bodoh” oleh Mahiaddin, hari ini tampil dengan jawapan balas kepada serangan Presiden Bersatu itu terhadapnya.

Semacam ingin terus mencabar Mahiaddin, bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu berkata, untuk membubarkan DUN atau Dewan Negara tidaklah semudah menekan “button” saja.

“Ada prosesnya, ia tertakluk kepada proses di bawah Perlembagaan yang melibatkan peranan Ketua Negeri atau Ketua Negara,” tambah beliau lagi.

Maknanya, Shahrir ingin memberitahu Mahiaddin, jika pun Bersatu menekan “button” terhadap kerajaan negeri, ia belum tentu akan berakhir dengan PRN sepertimana yang berlaku di Melaka.

Kuasa menentukan proses selanjutnya adalah terletak di tangan Sultan Johor selaku Ketua Negeri, bukan melalui tekan “button” semata-mata.

Maksud tersirat Shahrir kepada Mahiaddin di sini ialah, kalau benar-benar berani nak tarik sokongan, tariklah tetapi ia belum tentu akan berakhir dengan pilihan raya.

Makna kata, macam-macam mungkin boleh terjadi jika penarikan sokongan itu benar-benar dilakukan oleh Bersatu.

Seperti Shahrir ingin mencabar Mahiaddin sekali lagi – kalau benar-benar berani, tariklah sokongan dan jatuhkanlah kerajaan BN Johor sekarang?

Lebih pedih, Dr Puad turut memperlekeh Bersatu bahawa parti itu tidak akan menang walau satu kerusi jika PRN diadakan di Johor.

Tidak rasa tercabarkah Mahiaddin dengan tindakan terbaru Shahrir yang kini turut pula disertai Dr. Puad ini?