Malaysia Dateline

Mahiaddin tinggalkan pejabat PMO, kini menuju ke Istana

Tan Sri Mahiaddin Md Yassin dilaporkan baru sahaja meninggalkan pejabatnya di Putrajaya dan beliau dijadualkan akan menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Sebelum itu, beliau telah mempengerusikan mesyuarat kabinet khas di pejabatnya kira-kira hampir sejam yang lalu.

Sebaik sahaja keluar pagar utama Pejabat Perdana Menteri, Mahiaddin yang menaiki kenderaan rasminya JBM 2 sempat melambaikan tangan kepada media yang sedang berkampung sejak pagi tadi lagi.

Beliau ke pejabatnya pagi ini dianggap ia sebagai tindakan terakhirnya sebelum meletakkan jawatan hari ini.

Kira-kira jam 12.25 tengah hari ini, Mahiaddin dilaporkan baru sahaja memasuki pintu utama Istana Negara bagi menghadap YDPA.

Semalam, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof mengesahkan Mahiaddin akan menyerah surat peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara hari ini.

Keputusan itu antara perkara dibincangkan ketika mesyuarat Ahli Parlimen daripada Bersatu dengan Muhyiddin di Publika semalam.