Malaysia Dateline

Mahiaddin umum Mas Ermieyati calon KM Melaka

Perikatan Nasional telah memilih Ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin sebagai calon Ketua Menteri Melaka jika berjaya menguasai majoriti kerusi dalam pilihan raya 20 November ini.

Pengerusi PN, Tan Sri Mahiaddin Md Yassin mengumumkan calon ketua menteri itu di ibu pejabat gabungan tersebut di Kuala Lumpur hari ini.

Menurut Mahiaddin nama Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu dipersetujui oleh pemimpin yang ada dalam gabungan PN.

“Keputusan pimpinan PN bersetuju menamakan Mas Ermieyati sebagai calon Ketua Menteri Melaka,” katanya.

Majlis pengumuman itu turut dihadiri Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan Presiden Gerakan, Dominic Lau Hoe Chai.

Katanya, ini merupakan kali pertama dalam sejarah seorang calon wanita yang berkelayakan, profesional, muda dan berpengalaman dicalonkan untuk menjadi ketua menteri Melaka.

Dalam PRN ini PN meletakkan Mas Ermieyati bertanding di kerusi Tanjung Bidara yang terletak di bawah kerusi parlimen Masjid Tanah.