Malaysia Dateline

Mahkamah arah Kamarul Zaman bayar kos RM3,000 kepada Fitri

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan Pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr Kamarul Zaman Yusoff  membayar kos guaman sebanyak RM3,000 kepada peguam Mohd Fitri Asmuni dalam saman pensyarah itu terhadap Fitri.

Hakim Quay Chew Soon membuat arahan itu ketika membenarkan Kamarul Zaman meminda samannya kerana penyataan saman itu didapati cacat dan perlu dibuat semula.

Menurut peguam Fitri, Noorazmir Zakaria, hakim bersetuju bahawa tindakan yang dilakukan oleh plaintif iaitu menamakan ‘writ’ sebagai ‘writ saman’, tiada pengesahan penyataan tuntutan di dalam writ dan meletakkan jumlah RM5 juta sebagai gantirugi am di dalam writ dan pernyataan tuntutan adalah cacat.

Namun, katanya, hakim berpendapat kecacatan tersebut tidak lah sehingga boleh membatalkan writ dan pernyataan tuntutan tersebut.

“Tapi memandangkan wujudnya kecacatan tersebut, maka hakim mengarahkan plaintif meminda writ dan penyataan tuntutan mereka sewajarnya dalam masa tujuh hari,” kata Noorazmir.

Noorazmir berhujjah bahawa defendan (Fitri) harus diberi pampasan dengan kos memandangkan pindaan yang bakal dibuat oleh plaintif hanya berbangkit setelah permohonan defendan ini difailkan.

“Hakim bersetuju dengan defendan bahawa memandangkan kecacatan tersebut wujud, maka kos harus diberikan.

“Jadi hakim memerintahkan plaintif membayar RM3,000 kepada defendan,” beritahu Noorazmir.

Perbicaraan secara E-review untuk kes ini seterusnya akan dibuat 26 April depan.

Peguam Harris Abdullah mewakili Kamarul dalam kes ini.

Fitri adalah antara 10 pemimpin AMANAH, 10 pemimpin DAP dan dua portal berita termasuk Malaysia Dateline yang disaman oleh Kamarul 28 Julai 2020.

“Kepada mereka yang mempermain-mainkan tindakan saya menyaman 10 pemimpin DAP, 10 pemimpin Amanah dan dua portal berita, sukacita saya maklumkan bahawa writ saman terhadap mereka telah dipohon dan dikeluarkan oleh mahkamah secara serentak pada 28 Julai lalu,” kata Kamarul Zaman,

Pemimpin DAP yang menerima writ saman tersebut adalah Lim Kit Siang, Teresa Kok Suh Sim, Chong Chieng Jen, Wong Kah Woh, Lim Lip Eng, P. Ramasamy, Syerleena Abdul Rashid, Arifin S M Omar, Abdul Aziz Isa Marindo dan Mohd Farid Bin Mohd Azmi.

Manakala pemimpin Amanah yang menerima writ saman daripada Kamarul Zaman adalah Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa, Khalid Abdul Samad, Mohamed Hanipa Maidin, Zolkharnain Abidin, Jamzuri Ardani, Mohd Fitri Bin Asmuni, Wan Anwar Wan Ibrahim, Siti Fatihah Salahuddin, Abdul Rahman Abdul Talib dan Hussin Jan.

Dua portal berita yang disaman adalah Malaysia Dateline dan wartawan portal itu Arif Atan serta Malaysiakini dan ketua pengarang portal tersebut, Steven Gan.