Malaysia Dateline

Mahkamah Austria batalkan perintah kerajaan tutup masjid

Sebuah mahkamah di Austria membatalkan rancangan kerajaan untuk menutup enam masjid milik komuniti Arab di negara itu, lapor agensi berita Turki Anadolu pada Khamis.

Dalam satu kenyataan, Umit Vural, ketua Komuniti Agama Islam Austria (IGGO), mengatakan mahkamah Vienna mengeluarkan perintah membatalkan keputusan kerajaan untuk menutup enam masjid.

Tahun lepas, seorang wakil pihak berhaluan kanan, Sebastian Kurz memutuskan untuk menutup tujuh masjid dan mengusir puluhan imam.

Semasa sidang akhbar, Kurz berkata langkah itu bertujuan untuk mengekang aktiviti “politik Islam”.

Kurz berkata bahawa siasatan oleh Kementerian Kebudayaan dan Dalam Negeri mendapati aktiviti dijalankan di tujuh masjid terbabit – salah satunya dipunyai Persatuan Kebudayaan Islam menyalahi undang-undang.

Masjid Turki dibuka semula pada Jun lalu selepas ia memenuhi peraturan yang ditetapkan.

— BERNAMA