Malaysia Dateline

Mahkamah batalkan saman Kamarul terhadap Mujahid

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membatalkan saman seorang pensyarah kanan Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff terhadap Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Peguam mewakili Mujahid, Noorazmir Zakaria berkata, anak guamnya telah memfailkan permohonan untuk membatalkan saman yang dikemukakan Kamarul berhubung tulisan bertajuk ‘Disiplin Ilmu Bukan Sentimen Murahan’.

Saman fitnah itu difailkan Kamarul terhadap Mujahid pada 28 Julai 2020.

Menurut Noorazmir, Kamarul pernah memfailkan saman fitnah terhadap Mujahid pada tahun 2017 atas artikel yang sama.

“Pada 19 Jun 2017, Mujahid telah pun memfailkan saman fitnah terhadap Kamarul berhubung satu artikel bertajuk ‘Dr Mujahid Antara Kuda Tunggangan DAP Terbaik’.

“Dalam prosiding saman itu, Kamarul turut memfailkan tuntutan balas berhubung tulisan Mujahid bertajuk ‘Disiplin Ilmu Bukan Sentimen Murahan’; iaitu tulisan sama yang dirujuk Kamarul di dalam saman fitnah pada 28 Julai 2020 ini.

“Bagaimanapun, Kamarul telah pun membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Mujahid pada 21 November 2018 dan menarik balik tuntutan balasnya itu sebagai penyelesaian akhir dan muktamad,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru itu kata Noorazmir, anak guamnya telah memohon untuk membatalkan saman Kamarul dengan alasan bahawa saman tersebut adalah satu penyalahgunaan proses mahkamah.

Ini kerana katanya, Kamarul sebelum ini bukan sahaja telah menarik balik tuntutan balasnya, malah telah pun membuat permohonan maaf kepada Mujahid.

Mahkamah hari ini turut memberikan perintah supaya Kamarul membayar Mujahid kos berjumlah RM5,000

Kes hari ini diputuskan oleh Yang Arif Datuk Rozana Ali Yusof, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur