Malaysia Dateline

Mahkamah benar permohonan Ku Nan agar hakim tarik diri

Bekas menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor berjaya dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan hari ini agar Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali menarik diri daripada mendengar perbicaraan kes rasuah RM1 juta yang dihadapinya.

Panel 3 hakim terdiri daripada Hakim Yaacob Md Sam, Rhodzariah Bujang dan Hadhariah Syed Ismail membenarkan rayuan Tengku Adnan untuk mengetepikan keputusan Nazlan yang enggan menarik diri daripada mendengar perbicaraan kes itu.

Yaacob, yang mengetuai panel itu memutuskan rayuan itu mempunyai merit dan mewajarkan campur tangan mahkamah.

Beliau membenarkan rayuan itu agar Nazlan menarik diri daripada mendengar perbicaraan Tengku Adnan dan supaya kes itu dipindahkan ke mahkamah lain.

 Beliau berkata hakim baru akan akan membuat keputusan sama ada untuk memulakan semula kes itu atau meneruskan perbicaraan itu daripada Nazlan.

Setakat ini 2 saksi pendakwaan memberi keterangan dalam perbicaraan itu.

Yaacob menetapkan 18 Feb untuk sebutan kes itu di hadapan Nazlan susulan keputusan Mahkamah Rayuan itu. Ia juga merupakan tarikh sepatutnya perbicaraan didengar semula.

Tengku Adnan, 69, merayu terhadap keputusan Nazlan pada 20 Sept tahun lepas yang menolak permohonan supaya hakim itu menarik diri daripada mendengar perbicaraan kes yang dihadapinya.

Ahli Parlimen Putrajaya itu mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menerima suapan iaitu wang berjumlah RM1 juta daripada ahli perniagaan Tan Eng Boon melalui cek Public Bank milik syarikat Pekan Nenas Industries Sdn Bhd yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank kepunyaannya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan sebagai upah untuk meluluskan permohonan Nucleus Properties Sdn Bhd bagi menaikkan ratio plot berkaitan dengan pembangunan Lot 228 di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, cawangan Pusat Dagangan Dunia Putra, Tingkat 2, Blok Podium, Pusat Dagangan Dunia Putra, Jalan Tun Ismail pada 27 Disember 2013.