Malaysia Dateline

Mahkamah benarkan Najib dapat semula pasport untuk ke Singapura

Permohonan Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak untuk mendapatkan pasport antarabangsanya buat sementara, dibenarkan oleh Mahkamah Rayuan hari ini bermula 20 Oktober sehingga 22 November ini.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Datuk Seri Kamaludin Md Said membenarkan permohonan pelepasan pasport berkenaan dan ia tidak dibantah pihak pendakwaan.

Kebenaran diberikan bagi membolehkan bekas Perdana Menteri itu melawat anak perempuannya Nooryana Najwa yang kini berada di Singapura dan bakal melahirkan anak kedua pada November ini.

Sementara itu, Hakim Kamaluddin berkata, mahkamah membenarkan permohonan itu selepas mendapati terdapat alasan yang munasabah.

Najib dilaporkan hanya akan memulakan perjalanan ke Singapura pada 3 November ini selepas menghadiri pembentangan Belanjawan 2022.

Jumaat lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur turut membenarkan permohonan isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor supaya pasportnya dikembalikan sementara bagi membolehkan beliau ke Singapura.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan membenarkan permohonan itu dengan menetapkan syarat pasport perlu dikembalikan pada atau sebelum 6 Disember 2021.

Mohamed Zaini berkata, pemohon (Rosmah) hanya boleh keluar Singapura mulai 22 Oktober dan mesti pulang ke Malaysia pada atau sebelum 21 November ini.

Najib mengemukakan permohonan di Mahkamah Rayuan kerana beliau sedang merayu sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dalam kes penyelewengan dana syarikat SRC International Sdn Bhd.

Pada April lalu, Najib berhadapan dengan saman bankrap dari Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kerana gagal melunaskan cukai pendapatan seperti yang diputuskan Mahkamah Tinggi.

LHDN menuntut beliau membayar RM1.69 bilion bagi cukai pendapatan yang belum dibayar, kadar faedah lima peratus setahun dari tarikh penghakiman, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.