Mahkamah benarkan permohonan batal reman exco P. Pinang

Mahkamah benarkan permohonan batal reman exco P. Pinang

Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini membenarkan permohonan semakan semula untuk membatalkan perintah reman terhadap anggota exco kerajaan negeri Pulau Pinang Phee Boon Poh dan dua beranak yang dikeluarkan Mahkamah Majistret Pulau Pinang, Sabtu lepas.

Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed membuat keputusan itu selepas meneliti hujah daripada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan peguam tertuduh.

Abdul Wahab berkata perintah reman terhadap exco kanan kerajaan negeri dan dua lelaki itu yang merupakan pengarah dan pengurus sebuah kilang haram di Kampung Sungai Lembu, Bukit Mertajam adalah bertentangan dengan Seksyen 117(5) Kanun Prosedur Jenayah.

“Mereka dinafikan keadilan asasi,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata mahkamah membenarkan SPRM untuk mengemukakan semula perintah reman terhadap ketiga-tiga individu itu di Mahkamah Majistret.

Permohonan semakan semula itu dikemukakan oleh peguam Ramkarpal Singh dan R.S.N Rayer yang mewakili Phee dan peguam Dev Kumaraendran yang mewakili dua beranak itu yang ditahan SPRM.

Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya SPRM Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman dan Ahmad Ghazali Muhamad Nadzri.

Semalam, Mahkamah Tinggi Alor Setar menolak permohonan itu atas alasan ia sepatutnya difailkan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang kerana ia merupakan forum yang sesuai untuk mendengar permohonan itu.

Sabtu lepas, SPRM memperoleh perintah reman terhadap Phee dan dua lelaki itu bagi membantu siasatan berhubung kes sebuah kilang beroperasi secara haram di Kampung Sungai Lembu, Bukit Mertajam dekat sini sejak 10 tahun lepas.

Pada Khamis lepas, SPRM menjalankan operasi di kilang haram memproses serbuk kayu itu, yang dipercayai mencemari alam sekitar di Kampung Sungai Lembu, Bukit Mertajam selain SPRM mengambil beberapa dokumen dari pejabat MPSP di Bandar Perda bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Sumber berkata dokumen itu diambil bagi membantu siasatan kes kilang berkenaan yang dikatakan beroperasi sejak 10 tahun lepas tanpa permit di atas tanah berstatus tanah pertanian.

Isu berhubung kilang haram itu pernah dibangkitkan Anggota Dewan Undangan Negeri Penanti dari PKR Dr Norlela Ariffin pada persidangan Dewan Undangan Negeri yang mendakwa banyak kilang haram dibiar beroperasi di Penanti tanpa tindakan lanjut oleh kerajaan negeri.

Sementara itu, Ramkarpal ketika ditemui pemberita selepas prosiding itu, berkata dengan kebenaran mahkamah itu, perintah untuk menahan anak guamnya dan dua beranak itu diketepikan.

“Ini bermaksud YB (Yang Berhormat) Phee dan dua yang lain bebas. Pegawai penyiasat juga mengesahkan bahawa mereka tidak akan ditahan semula,” katanya.

Beliau turut memberi jaminan kepada SPRM bahawa pihaknya bersedia untuk membantu siasatan jika mereka ingin mengambil keterangan untuk melanjutkan siasatan.

Phee yang hadir pada prosiding itu berkata beliau akan terus menjalankan tugas sebagai Pengerusi Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri.

COMMENTS

Wordpress (0)