Malaysia Dateline

Mahkamah benarkan semakan kehakiman pendaftaran parti Pejuang

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) untuk memulakan semakan kehakiman bagi menggesa Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) mendaftarkannya sebagai parti politik.

Semakan kehakiman untuk rayuan dibuat selepas ROS pada 6 Januari lalu menolak pendaftaran Pejuang dan sebuah lagi parti baru, Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).

Setiausaha Agung (Penaja) Pejuang, Datuk Amiruddin Hamzah berkata, tarikh pendengaran akan ditetapkan kelak namun tarikh untuk pengurusan kes lanjut telah ditetapkan oleh Mahkamah pada 15 April nanti.

“Setelah mendengar peguam yang mewakili Pejuang dan pihak Jabatan Peguam Negara, Mahkamah telah membenarkan permohonan kebenaran semakan kehakiman untuk didengar secara substantif.

“Di antara perintah yang dipohon oleh Pejuang melalui semakan kehakiman yang difailkan adalah untuk mendapatkan deklarasi serta perintah mandamus (untuk memaksa pelaksanaan sesuatu kewajipan awam yang tertentu) agar Menteri Dalam Negeri dan ROS memberikan kelulusan pendaftaran Pejuang sebagai satu parti politik,” katanya dalam satu kenyataan akhbar.

Pada 2 Februari lalu, Pejuang yang diasaskan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengemukakan rayuan kepada Menteri Dalam Negeri berhubung pendaftaran parti itu selepas permohonan mereka ditolak.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dilaporkan berkata, permohonan pendaftaran Pejuang ditolak berdasarkan peruntukan Seksyen 7(3)(e) Akta Pertubuhan 1966 dan parti itu boleh mengemukakan rayuan kepada Menteri Dalam Negeri dalam tempoh 30 hari dari tarikh keputusan.

Sementara itu Pejuang berkata, parti itu akan meneruskan usaha untuk mendapatkan kelulusan melalui segala cara yang dibenarkan undang-undang demi prinsip perjuangan parti dan kesejahteraan tanah air .