Malaysia Dateline

Mahkamah diberitahu Najib terima RM2.23 bilion dari Putera Arab dan dua syarikat dikaitkan dengan Jho Low

Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu sejumlah wang bernilai RM2.23 bilion didakwa masuk ke akaun Datuk Seri Najib Razak secara berterusan daripada putera Arab Saudi dan dua syarikat yang dikaitkan dengan ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jho atau Jho Low.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Pasaran Modal Perbankan Persendirian AmBank, Yap Wai Keat yang hadir ke mahkamah hari ini sebagai saksi pendakwaan ke-38.

Dalam prosiding kes rasuah 1MDB membabitkan Najib, mahkamah diberitahu bahawa sejumlah RM2.17 bilion diterima daripada Blackstone Asia Real Estate Partners dan Tanore Finance Corp. di antara 2012 dan 2013.

Dua syarikat ini mendepositkan wang ke akaun Ahli Parlimen Pekan yang berakhir nombor 694 melalui 11 transaksi.

Tanore Finance Corp. mendepositkan sejumlah RM2.08 bilion melalui sembilan transaksi, manakala Blackstone memasukkan sebanyak RM90.89 juta.

Selain itu, beliau berkata, Putera Faisal Turki Bandar Al-Saud telah memasukkan wang menerusi dua transaksi iaitu masing-masing AS$9,999,977 (RM30,449,929.97) pada 24 Februari 2011 dan AS$9,999,970 (RM 30,179,909.46) pada 14 Jun 2011.

“Saya telah diarahkan oleh Pengurus Perhubungan AmBank Najib iaitu Joanna Yu Ging Ping untuk membantu dalam perkara berkaitan pertukaran asing di Bahagian Pasaran untuk akaun ini.

“Joanna mengarahkan saya untuk melaksanakan penukaran wang daripada AS$ kepada RM selepas dia mendapat kelulusan daripada pelanggan (Najib),” katanya selepas membaca pernyataan saksi semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustafa P Kunyalam.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.