Malaysia Dateline

Mahkamah Jerman batalkan larangan solat Jumaat

Mahkamah Tertinggi Jerman bersetuju membatalkan larangan menyeluruh terhadap aktiviti keagamaan hanya sekiranya rakyatnya mengambil langkah pencegahan yang ketat untuk mengelakkan jangkitan wabak Covid-19.

Menerusi satu kenyataanya semalam, mahkamah memaklumkan bahawa keputusan itu dibuat setelah menerima rayuan dari sebuah organisasi Muslim di negara bahagian utara Lower Saxony, untuk menunaikan solat Jumaat pada minggu-minggu yang berbaki di bulan Ramadan.

“Mahkamah memutuskan bahawa pengecualian akan diberikan hanya sekiranya tiada risiko peningkatan jangkitan,” katanya seperti yang dipetik AFP.

Sementara itu, menurut sebuah laporan antarabangsa, keutamaan telah diberikan kepada 30,000 masjid dan ruang solat di Jerman yang dibolehkan untuk dibuka sepanjang bulan Ramadhan.

Bagaimanapun katanya, Jemaah Muslim wajib memakai penutup mulut dan hidung ketika memasuki masjid, dan dinasihatkan untuk menjarakkan diri untuk perlindungan mereka sendiri.

Setiap jemaah juga harus mempunyai jarak sekurang-kurangnya 10 meter persegi untuk diri mereka sendiri.

Terdahulu, Jerman mengenakan larangan aktiviti keagamaan sejak awal penutupan ‘lockdown’ negara itu pada pertengahan Mac lalu.

Minggu lalu, Jerman telah melonggarkan sekatannya setelah kadar jangkitan di negara itu menurun.

Kedai-kedai runcit, bengkel membaiki basikal, mencuci kereta dan perniagaan lain, dapat beroperasi semula.

Namun demikian, rumah-rumah ibadat tidak dianggap sebagai keutamaan politik, walaupun ada permintaan dari para pemimpin agama bahawa makanan rohani adalah sama pentingnya bagi kebanyakan rakyat Jerman.