Malaysia Dateline

Mahkamah Khas Jenayah Seksual Kanak-kanak bersidang kali pertama

Mahkamah Jenayah Khas yang mengendalikan kes melibatkan mangsa seksual kanak-kanak bersidang buat pertama kali hari ini dengan mendengar lima kes.

Hakim Mahkamah Sesyen Yong Zarida Sazali mendengar kes-kes itu itu termasuk pertuduhan baharu kes pencabulan kehormatan, perbicaraan kes rogol dan sebutan tiga kes rogol.

Mahkamah Khas itu dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 22 Jun lalu.

Hakim itu memulakan prosidin pada 9 pagi dan mengambil masa kira-kira sejam untuk menyelesaikan pendengaran sebutan kes dan pertuduhan baharu.

Beliau kemudiannya mendengar perbicaraan kes rogol secara tertutup membabitkan Mohd Haziq Hussain, seorang pekerja gerai makanan berumur 29 tahun, yang dituduh merogol seorang gadis berusia 13 tahun di sebuah rumah diSegambut, Kuala Lumpur pada 15 Februari 2015.

Sebelum itu, Yog mengeluarkan satu perintah untuk prosiding perbicaraan secara tertutup atas permintaan Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Aimi Syazwani Sarmin.

“Prosiding mahkamah akan dijalankan secara tertutup. Semua pihak (orang yang duduk di galeri awam termasuk wartawan) diminta meninggalkan bilik mahkamah,” katanya.

Dua saksi memberi keterangan dalam perbicaraan hari ini sebelum mahkamah menetapkan perbicaraan disambung semula selama tiga hari mulai 7 Ogos.

Terdahulu, seorang jurujual berumur 43 tahun didakwa di mahkamah yang sama kerana berkelakuan tidak senonoh kerana didakwa mencium dan menggigit bahagian dada seorang remaja lelaki berumur 17 tahun di sebuah bilik hotel di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur pada 27 Jun lalu.

Chua Kim Yap mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu dan mahkamah menetapkan 8 Ogos untuk sebutan kesnya.

Yong membenarkan permohonan pihak pendakwaan supaya tertuduh tidak dibebaskan dengan jaminan. DPP Aimi memberitahu mahkamah, Chua mempunyai beberapa sabitan sebelum ini termasuk kesalahan mencabul, menipu dan mencuri.

Hakim juga mendengar tiga lagi kes lain melibatkan Lai Jun Kia, Muhammad Rafaie Padzil dan Mohd Khalifah Hussin. Beliau menetapkan 20 Julai untuk tarikh sebutan semula kepada Lai dan Muhammad Rafaie case dan menetapkan 8 Ogos untuk kes Mohd Khalifah.