Malaysia Dateline

Mahkamah Khas Rasuah: Bukti ketelusan kerajaan, selari inisiatif pelan antirasuah nasional

Pakar Perlembagaan dan pengamal undang-undang menyifatkan cadangan kerajaan bagi menubuhkan mahkamah khas rasuah sebagai peluang yang baik selari dengan inisiatif pelan antirasuah nasional.

Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Shamrahayu Abdul Aziz berkata ini merupakan waktu terbaik untuk kerajaan membuktikan ketelusannya dengan penubuhan satu cawangan divisyen khusus melibatkan rasuah.

Shamrahayu Abdul Aziz
Shamrahayu Abdul Aziz

Katanya, negara sedang mengalami permasalahan rasuah termasuk di kalangan ahli-ahli politik dan mereka yang rapat dengannya.

“Dengan tidak mengambil kira pangkat dan parti politik, seseorang itu perlu dihadapkan di mahkamah dan prosedurnya juga saya percaya tidak memakan masa begitu lama jika benar mahkamah khas rasuah ditubuhkan.

“Pada pandangan saya, penubuhan mahkamah khas ini sebenarnya akan mempercepatkan perjalanan kes-kes yang masih belum dibicarakan.

“Pertuduhan rasuah juga melibatkan nama baik dan reputasi seseorang. Apabila seseorang dituduh, ia hendaklah disegerakan pembuktian dan pembersihan semula nama.

“Saya kira cadangan ini sangat baik dan menyokong usaha kerajaan memberi perhatian terhadap permasalahan yang semakin meningkat,” katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Beliau berkata demikian menjawab soalan keperluan dan kepentingan untuk menubuhkan mahkamah khas rasuah yang dicadangkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 19 Mac.

Ditanya tentang kos perbelanjaan yang besar mungkin terlibat sepanjang tempoh penubuhan mahkamah itu, beliau berkata ia bukan satu isu jika dibandingkan dengan keadilan yang mahu dicapai.

“Apakah kita harus bercakap tentang kos perbelanjaan sekiranya keadilan yang kita mahu capai?

“Penubuhan ini dilihat tidak melibatkan kos yang tinggi kerana ia hanya memerlukan satu hingga dua bilik perbicaraan sahaja.

“Hakim-hakim yang dah biasa dengan kes-kes komersial dan jenayah pula boleh diangkat sebagai hakim di mahkamah khas ini walaupun kita tak nafikan hakim sedia ada tak ramai.

“Sungguhpun begitu, mana kita mahu korbankan? Kos atau reputasi orang yang dituduh dan keadilan pada negara?,”soalnya.

Beliau ketika dihubungi berkata kerajaan yang mempunyai ‘political will’ akan berusaha mencari jalan merealisasikan penubuhan mahkamah tersebut demi mencari keadilan.

Tambahnya, mahkamah memerlukan hakim yang berupaya memberi penumpuan untuk mengendali kes-kes berkaitan rasuah.

“Biar apa pun slogan kerajaan dalam memerangi rasuah, paling utama ialah ambil tindakan pada mereka yang tidak amanah atas tiket ‘Rule of Law’ (undang-undang),” ujarnya.