Mahkamah khas suami culas nafkah: Beku aset cara terbaik bela nasib isteri dan anak, kata Awan

Mahkamah khas suami culas nafkah: Beku aset cara terbaik bela nasib isteri dan anak, kata Awan
Mariam Abdul Rashid

Jawatankuasa Pimpinan Angkatan Wanita Amanah Negara (Awan) Nasional menyifatkan mekanisme membekukan aset suami sebagai cara terbaik menangani permasalahan kebajikan bekas isteri dan anak yang terabai selepas bercerai.

Ahlinya, Mariam Abdul Rashid berkata, cadangan penubuhan Mahkamah Khas Perkahwinan, Nafkah dan Hadhanah yang diluluskan kabinet itu dijangka akan mencatat penurunan kes statistik suami yang culas membayar nafkah.

Katanya, ini merupakan satu pembaharuan yang akhirnya dapat membela nasib bekas-bekas isteri yang teraniaya.

“Dengan adanya mahkamah ini, kita boleh mengendalikan kes tuntutan nafkah untuk bekas isteri dengan lebih terarah dan fokus. Itu jalan baik yang bagus setakat ini. Ini satu usaha yang terbaik dari kerajaan, supaya lelaki sedar bahawa dia tak boleh buat sesuka hati.

“Saya rasa wanita yang ada sekarang ini pun ternanti-nanti dan mereka merasa lega dengan pengumuman kabinet yang meluluskan Mahkamah Khas Perkahwinan ini.

“Saya turut menjangkakan kes suami culas akan turun mendadak kerana apabila adanya penguatkuasaan dari kerajaan, mereka semua terpaksa akur dengan undang-undang itu,” katanya kepada Malaysia Dateline.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai jawatankuasa khas yang diluluskan Kabinet bagi melaksanakan Mahkamah Khas Perkahwinan, Hadhanah dan Nafkah yang mempunyai kuasa menyita harta lelaki culas membayar nafkah kepada bekas isteri sebagaimana diumumkan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf pada Sabtu.

Beliau turut akui, mahkamah itu kelak akan menggerakkan segala proses kes yang masih berjalan dan yang tertunda dengan lebih pantas.

“Boleh jadi penurunan kes itu secara mendadak. Maknanya, kes yang hampir selesai boleh jadi selesai. Kes yang baru mula, dah boleh terus bergerak dan mendapat pembelaan. Ia lebih kepada proses yang akan selesai,” ujarnya.

Beliau turut menasihati supaya pihak isteri tidak membina hubungan yang tidak baik dengan bekas suami dan mempunyai sifat dendam sehingga berharap si suami dikenakan tindakan hukuman penjara.

“Pihak isteri pun janganlah sampai ada hubungan yang tidak baik dengan bekas suami. Jangan ada sifat dendam dan penuh emosi sehinggakan berharap bekas suami masuk ke dalam penjara.

“In Shaa Allah, dari pihak wanita dan saya sendiri, kami sambut baik usaha kerajaan sebab kita memang sedia maklum, banyak kes tertunggak yang seolah-olah tak ada pembelaan. Ada yang meluahkan masalah, kadang kita tak tahu nak jawap apa.

“Jadi lepas ini dikalangan lelaki atau suami tidak boleh buat suka-suka hati. Bila aset dia dibekukan, dia tak boleh buat apa-apa. Tidak boleh kemana-mana, tidak boleh nak bergerak. Walaupun tindakan itu kita nampak macam tidak adil kepada sebelah pihak tetapi sebenarnya kita perlu kepada tindakan yang agak keras dan tegas,”ujarnya.