Malaysia Dateline

Mahkamah Khas tuntutan nafkah mula beroperasi hari ini

Mahkamah Rendah Syariah (Bahagian Nafkah) yang diluluskan kabinet sebelum ini telah mula beroperasi pada hari ini, 3 September di Dewan Mahkamah Rendah Syariah (MRS) Wilayah Persekutuan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), pendaftaran kes pertama pada hari ini akan menggunakan nombor pendaftaran kod kes mahkamah 14005 dan Hakim Syarie pertama yang diamanahkan mengendalikan kes di dewan MRS (Bahagian Nafkah) ialah Abdullah Zuhdee Ab Halim.

“Dengan beroperasinya MRS (Bahagian Nafkah) ini, ia dijangka akan memendekkan tempoh penyelesaian kes daripada 14 bulan kepada enam bulan.

“Pemerkasaan mahkamah syariah merupakan sebahagian daripada agenda utama kerajaan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan keadilan dapat diberikan sebaik mungkin kepada masyarakat.

“Melalui Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan (MSWP), Program Pengkhususan Pengendalian Kes Hadhanah dan Nafkah serta Pewujudan Bahagian Penguatkuasaan dan Pelaksanaan diwujudkan,” katanya.

Tambah kenyataan itu, melalui program tersebut, fasa pasca bicara selepas perintah dikeluarkan juga diberikan penekanan.

Jelasnya, ia selari dengan prinsip syariah yang digariskan dalam risalatul qada bahawa tugas mahkamah syariah tidak terhenti setakat mengeluarkan perintah bahkan perlu memastikan perintah yang dikeluarkan itu dilaksanakan sepenuhnya.

“Justeru pewujudan bahagian penguatkuasaan dan pelaksanaan bersama perjawatan bailif yang tiada di MSWP sebelum ini telah direncana dengan baik untuk program ini.

“Adalah diharapkan dengan permulaan pelaksanaan program ini pada hari ini, ia dapat menjadi pencetus kepada usaha pemerkasaan mahkamah syariah di seluruh negara dan mendapat kerjasama semua pihak untuk dilengkapkan serta direalisasikan sebagaimana pakej keseluruhan program yang dirangka,” ujarnya.