Malaysia Dateline

Mahkamah melepaskan, membebaskan Hasanah dari pertuduhan pecah amanah wang kerajaan RM50.4 juta

Mahkamah Tinggi melepaskan dan membebaskan Bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Ab. Hamid hari ini sepenuhnya atas pertuduhan pecah amanah wang harta kerajaan berjumlah AS$12.1 juta (RM50.4 juta).

Keputusan itu dibuat oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Roz Mawar Rozain di mana Hasanah ,65, tidak lagi boleh didakwa di mahkamah atas pertuduhan serupa.

Katanya, adalah tidak adil untuk Hasanah dengan membiarkan pertuduhan tersebut tergantung begitu sahaja.

Menurut Seksyen 254 Kanun Tatacara Jenayah, mahkamah mempunyai kuasa untuk membuat keputusan.

Berdasarkan fakta bahawa pihak pendakwaan tidak lagi mempunyai keinginan untuk meneruskan kes, maka mahkamah mempunyai kuasa ini akan memberikan perintah dilepaskan dan dibebaskan.

“Tidak adil buatnya untuk pertuduhan ini terus tergantung di kepalanya untuk lebih dari setahun. Keadilan tidak dilaksanakan dengan cara sedemikian,” kata Roz Mawar.

12 April 2021, Hasanah telah dilepaskan tanpa dibebaskan daripada pertuduhan pecah amanah selepas pihak pendakwaan ketika itu memaklumkan terdapat penemuan-penemuan baharu berkaitan kes berkenaan dan wanita itu akan dituduh dengan pertuduhan baharu berdasarkan kepada penemuan-penemuan itu.

Namun 25 Oktober 2018, Hasanah mengaku tidak bersalah atas tuduhan sebagai seorang penjawat awam iaitu Ketua Pengarah Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri (JPM) telah melakukan pecah amanah wang berjumlah US$12.1 juta (RM50.4 juta) milik Kerajaan Malaysia.

Beliau didakwa melakukan perbuatan tersebut di pejabat Ketua Pengarah, Bahagian Penyelidikan JPM, Kompleks JPM, Putrajaya di antara 30 April dan 9 Mei 2018.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan, dipetik Kosmo.

Baca juga: Pesara histeria temui tengkorak manusia berselerak ingatkan penjenayah, rupanya bintang luwak punya kerja

Baca juga: Lucinta Luna ubah wajah lagi, kini mahu kelihatan persis Blackpink Jisoo