Mahkamah perintah Johnson & Johnson bayar RM18.6 billion kepada 22 wanita hidap kanser ovari

Mahkamah perintah Johnson & Johnson bayar RM18.6 billion kepada 22 wanita hidap kanser ovari

Hakim Mahkamah Missouri di Amerika Syarikat memerintahkan sebuah syarikat gergasi farmaseutikal Johnson & Johnson membayar lebih £3.5 bilion (RM18.6 bilion) kepada 22 wanita yang mendakwa bedak keluaran syarikat tersebut menyebabkan mereka mengalami kanser.

Mangsa mendakwa mereka menghidapi kanser ovari kerana talkum termasuk bedak bayi keluaran Johnson & Johnson mengandungi asbestos.

Syarikat tersebut turut dikaitkan dengan 9,000 kes yang serupa.

Peguam kepada wanita terbabit, Mark Lanier meminta agar produk Johnson & Johnson dikeluarkan daripada pasaran sebelum mengakibatkan penyakit yang lebih teruk dan kematian berlaku.

“Jika Johnson & Johnson berkeras untuk menjual bedak mereka, mereka perlu paparkan tanda amaran,” kata Lanier, di petik Mirror UK.

Pada Khamis, perintah tersebut diumumkan oleh Mahkamah Litar City of St. Louis dan dilaporkan perintah bayaran itu meliputi wang pampasan sebanyak AS$550 juta (RM2.2 bilion) dan AS$4.14 bilion (RM16.75 bilion) pula sebagai ganti rugi yang membebankan.

Kesemua mangsa dan keluarga mereka berkata, mereka telah menggunakan bedak bayi tersebut sejak berdekad lamanya dan produk kosmetik talkum keluaran syarikat tersebut menyebabkan mereka mengalami penyakit.

Mereka mendakwa syarikat itu mengetahui bahawa bedak keluaran mereka mengandungi bahan tercemar iaitu asbestos sejak sekurang-kurangnya pada tahun 1970-an tetapi gagal memberi amaran kepada pengguna mengenai risiko tersebut.

Bagaimanapun, Johnson & Johnson membantah penghakiman mahkamah dan berpendapat proses litigasi tidak dijalankan secara adil.

Syarikat itu menegaskan bahawa produk mereka tidak mengandungi asbestos dengan alasan bahawa Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan AS (US Food and Drug Administration, FDA) pernah membuat ujian sampel ke atas bedak talkum bayi berkenaan pada tahun 2009 dan mendapati bedak itu bebas asbestos.

Oleh itu Johnson & Johnson berhasrat untuk membuat rayuan terhadap keputusan kehakiman yang dibuat.