Mahkamah perintah Presiden Isma membela diri

Mahkamah perintah Presiden Isma membela diri

Mahkamah Sesyen Kajang hari ini memerintahkan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Abdullah Zaik Abdul Rahman  membela diri atas dakwaan menerbitkan tulisan yang menghasut.

Hakim Noridah Adam memerintahkan Abdullah membela diri terhadap pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 4 (1) (c) Akta Hasutan 1948 tetapi melepaskan beliau daripada pertuduhan mengucapkan kata-kata yang berbaur hasutan.

Abdullah dituduh mengikut Seksyen 4 (1) (b) Akta Hasutan 1948 kerana membuat kenyataan menyifatkan kedatangan pendatang Cina ke Tanah Melayu bersama penjajah British suatu ketika dahulu adalah satu bentuk pencerobohan.

“Mahkamah memutuskan untuk memanggil pembelaan terhadap pertuduhan alternatif bagi kes pendakwaan iaitu dengan menerbitkan artikel.

“Pihak pembela diberi tiga pilihan untuk membela diri, yang pertama bersumpah, yang kedua keterangan dan bersumpah dan yang ketiga berdiam diri,” katanya sewaktu perbicaraan di Mahkamah Sesyen Kajang, hari ini, lapor media Isma.

Sehubungan itu, Noridah menetapkan 21 Julai ini sebagai tarikh pembelaan.

Abdullah memilih untuk memberi keterangan bersumpah pada tarikh berkenaan.

Beliau diwakili peguam Salim Bashir, Azad Bashir dan Mohd Khainis Yussof.

Turut hadir Timbalan Presiden Isma, Aminuddin Yahya, Naib Presiden Isma, Abdul Rahman Mt Dali dan Ketua Wanita Isma,  Dr Norsaleha Mohd Salleh.

TAGS