Mahkamah Persekutuan AS mungkin kehabisan wang menjelang 1 Februari

Mahkamah Persekutuan AS mungkin kehabisan wang menjelang 1 Februari

Mahkamah Persekutuan Amerika Syarikat dijangka kehabisan wang menjelang 1 Februari meskipun selepas menangguhkan bayaran bil tidak kritikal dan menggunakan yuran kes dan membelanjakan baki tunai, kata pejabat pentadbiran pada Selasa.

“Tidak boleh disambung lagi selepas 1 Februari,” kata agensi pentadbiran itu dalam kenyataan.

“Kebanyakan langkah yang diambil adalah sebagai tindakan sementara dan badan kehakiman akan berdepan dengan banyak lagi bil tertunggak selepas penutupan sebahagian daripada fungsi kerajaan ini berakhir.”

Menurut agensi berita Xinhua, sejak beberapa minggu lalu, mahkamah dan pejabat perundangan awam terpaksa menangguhkan atau mengelak membuat perbelanjaan tidak penting seperti pengambilan pekerja baharu, mengehadkan perjalanan petugas dan kontrak tertentu, kata pejabat itu sambil menambah, pekerja jabatan kehakiman masih bertugas dan berstatus bergaji penuh.

Apabila baki tunai habis, setiap peringkat mahkamah akan menentukan siapa yang perlu bertugas bagi menyokong ‘misi kerja-kerja kritikal’, kata pejabat itu.

Sebagai tindak balas terhadap permintaan Jabatan Kehakiman, beberapa mahkamah persekutuan sudah mengeluarkan arahan menangguh atau menunda kes sivil yang membabitkan kerajaan.

Jabatan Kehakiman adalah satu daripada sembilan jabatan peringkat Kabinet Amerika yang terbabit dalam penutupan sebahagian fungsi itu.

Ia berlaku ekoran Rumah Putih dan Kongres buntu berhubung rundingan pembiayaan dana berbilion dolar untuk pembinaan tembok sempadan Amerika-Mexico.

Ketika penutupan itu memasuki hari ke-32 pada Selasa, Rumah Putih dan Parti Demokrat kelihatan masih jauh daripada jalan penyelesaian.

— BERNAMA