Mahkamah putus pampasan bekas kakitangan MB Selangor ikut peraturan

Mahkamah putus pampasan bekas kakitangan MB Selangor ikut peraturan

Mahkamah Tinggi menolak saman yang dikemukakan oleh Menteri Besar Selangor terhadap tujuh bekas pegawai bekas menteri besar sebelum ini yang dikatakan menerima pampasan berjumlah RM2.6 juta secara tidak sah.

Dalam keputusan yang dibuat semalam, Hakim Datuk Wan Ahmad Farid memutuskan pampasan yang diterima oleh mereka sebagai mengikut peraturan.

Dalam keputusannya pada Jumaat semalam, mahkamah mendapati bahawa bayaran pampasan tersebut dibuat mengikut peraturan berdasarkan kepada Enakmen MBI 1994.

Sehubungan itu, pihak mahkamah menolak tuntutan Menteri Besar Diperbadankan (MBI) yang difailkan pada 11 Mei 2015 lalu.

Dalam kes itu, MBI menyaman Faekah Husin (setiausaha politik), Arfa’eza Aziz (setiausaha akhbar) dan lima yang lain iaitu Rohani Talib, Mustapha Mohd. Talib, Rahimah Kamarudin, Abdul Halim Mohamed Yusof dan Tuan Nazuri Tuan Ismail di atas dakwaan menerima pampasan dari bekas menteri besar Tan Sri Khalid Ibrahim secara yang tidak sah.

Arfa dalam posting di facebooknya berkata, “we wons (kami menang)” yang mendedahkan keputusan kes ini kepada awam selepas ia berjalan secara yang low profile.

“Saya dan enam lagi rakan bekas kakitangan disaman kerana menerima pampasan pemberhentian secara sukarela (vss). Hari jni hakim berjata, pampasan itu mengikut peraturan dan dakwaan konspirasi dan melanggar peraturan tidak berasas,” tulis Arfa.

Kesemua mereka menerima pampasan tersebut sebagai ganti rugi apabila kontrak mereka tiba-tiba ditamatkan selepas Abdul Khalid dipaksa meletak jawatan sebagai Menteri Besar pada September 2014 oleh pihak PKR.

Minta maaf

Sementara itu Faekah yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif MBI dalam satu kenyataan berkata keputusan mahkamah membuktikan segala dakwaan Kerajaan Selangor di bawah Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bermotif politik.

“Tuduhan sebegini mencemarkan reputasi dan menjejaskan kerjaya kami. Justeru, kami dengan ini mendesak pentadbiran kerajaan Selangor memohon maaf kerana sanggup membazir duit rakyat untuk kos di mahkamah.

“Tutuntan ini malah dibuat semata-mata disebabkan politik balas dendam,” kata Faekah merujuk pemecatan Abdul Khalid sebagai ahli PKR kerana enggan melepaskan jawatan menteri besar.

Menteri Besar Selangor, Azmin Ali sebelum ini mengarahkan bekas kakitangan Khalid mengembalikan pampasan berjumlah RM2.6 juta yang diterima kerana tidak mematuhi tatacara dan peraturan kewangan berhubung syarat dan kontrak penggajian mereka.

Dakwanya, surat tuntutan itu gagal menyatakan dengan jelas undang-undang dan tatacara kewangan dan dakwaan salah laku ketika pembayaran dibuat.

TAGS