Malaysia Dateline

Mahkamah putuskan PRK Dun Rantau akan diadakan serta merta

Mahkamah Pilihan Raya di Seremban hari ini memutuskan bahawa kerusi Dun Rantau Negeri Sembilan kosong dan mengisytiharkan kemenangan Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hassan pada pilihan raya umum ke-14 lalu sebagai tidak sah.

Sehubungan itu, hakim Azimah Omar mengarahkan satu pilihan raya kecil diadakan serta merta.

Katanya, tidak ada undang-undang bertulis atau keperluan bagi seseorang calon atau pencadangnya mempunyai pas untuk memasuki pusat penamaan.

“Ini adalah diskriminasi kepada pempetisyen (Dr S Streram) dan gangguan kepada proses demokrasi.” ujarnya seperti dilapor Malaysiakini hari ini.

Pada 23 Mei lalu, calon PKR bagi PRU-14, Dr S Streram mengemukakan petisyen supaya satu PRK diadakan serta-merta kerana mendakwa penyandangnya tidak dipilih secara sah dan terbatal.

Dalam petisyennya, Dr Streram menamakan Mohamad sebagai responden pertama; Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi kawasan Parlimen Rembau, Amino Agus (reponden kedua) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)( responden ketiga).

Pada 29 Ogos Mahkamah Tinggi Seremban menolak permohonan bantahan Adun Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga Timbalan Presiden Umno untuk membatalkan petisyen PRU14 bagi kerusi Dun Rantau, difailkan calon PKR, Dr S Streram.

Hakim  Datuk Azimah Omar membuat keputusan itu, setelah meneliti dan mempertimbangkan segala afidavit dan hujahan bertulis yang difailkan kedua belah pihak.

Pada 6 November lalu Umno melancarkan jentera PRK Dun Rantau  sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan meskipun belum ada keputusan berhubung petisyen PRK di Dun berkenaan dibuat oleh Mahkamah Tinggi Seremban.