Rayuan Husam batal penghakiman dibenarkan

Oleh ARIF ATAN

Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan rayuan Datuk Husam Musa berhubung tuntutan saman fitnah yang difailkan Kompleks Perkayuan Kelantan Sdn Bhd (KPK) terhadap pemimpin AMANAH itu.

Kes yang melibatkan dakwaan Husam bahawa KPK melanggar hak Orang Asli kerana menceroboh tanah mereka di Gua Musang itu diarahkan bicara semula di Mahkamah Tinggi Malaya di Kota Bharu.

Peguam Husam, Murtadza Mokhtar memberitahu Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi telah khilaf apabila memberi penghakiman ke atas Husam semata-mata berdasarkan Unless Order sahaja.

“Apabila pihak kami (Zayumi Murtadza & Co.) dilantik sebagai Peguamcara baharu Datuk Husam menggantikan peguamcara lama, pihak kami telah memohon satu penangguhan pada hari bicara 1 Oktober 2019 kerana baru sahaja dilantik.

“Kami perlu untuk meneliti segala pliding dan dokumen berkaitan untuk memberi pembelaan terbaik kepada Datuk Husam namun Mahkamah Tinggi Malaya di Kota Bharu tidak membenarkan penangguhan tersebut atas alasan telah ada Unless Order diberikan kepada Peguamcara lama Datuk Husam pada satu tarikh bicara sebelum ini,” jelasnya ketika dihubungi Malaysia Dateline hari ini.

Susulan itu, kata Murtadza, Mahkamah Tinggi membuat penghakiman terhadap Husam pada hari tersebut tanpa perbicaraan berlangsung atau tanpa saksi-saksi dipanggil memberi keterangan.

“Lantaran itu, Husam Musa membuat rayuan dan didengari di hadapan panel Hakim yang terdiri daripada Yang Arif Datuk Seri Kamaludin bin Md. Said, Yang Arif Dato’ Gunalan a/l Muniandy dan Yang Arif Dato’ Ahmad Zaidi bin Ibrahim.

“Rayuan Datuk Husam dibenarkan dan kes ini diarahkan dihantar semula ke Mahkamah Tinggi untuk didengari,” kata Murtadza lagi.

Pada 26 Ogos lalu, Mahkamah Tinggi Kota Bharu mengarahkan Husam membayar ganti rugi RM100,000 kepada KPK.

Mahkamah sama juga menetapkan Husam membayar kos tindakan sebanyak RM110,933.92 terhadap penghakiman yang dicatatkan terhadap dirinya pada 1 Oktober 2019.

Pada 2017, Husam juga mendakwa kononnya KPK ditutup dan berlaku penyelewengan dalam syarikat terbabit.

Susulan itu, KPK memfailkan tindakan fitnah terhadap Husam kerana tanah yang didakwa diceroboh tersebut bukan dalam konsesi KPK dan syarikat tersebut tidak pernah ditutup malah masih beroperasi sehingga sekarang.