Malaysia Dateline

Mahkamah Rayuan tolak usaha Rosmah gugur Sri Ram, batal kes rasuah RM1.25 bilion

Mahkamah Rayuan hari ini menolak usaha Rosmah Mansur untuk membatalkan kelayakan ketua pendakwa raya Gopal Sri Ram dalam perbicaraan kes rasuahnya yang sedang berjalan dan membatalkan perbicaraan.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Hanipah Farikullah, M. Gunalan dan Hashim Hamzah sebelum ini mendengar hujahan daripada peguam Sri Ram dan Rosmah, Jagjit Singh.

Rosmah telah memfailkan dua permohonan di Mahkamah Tinggi pada 6 Mei tahun ini untuk membatalkan keseluruhan perbicaraannya, dalam usaha untuk dibebaskan daripada ketiga-tiga pertuduhan serta menggugurkan Sri Ram sebagai pendakwa utama.

Rosmah memfailkan permohonan itu selepas Mahkamah Rayuan pada 8 April lepas membenarkan rayuannya untuk mendapatkan salinan surat pelantikan Sri Ram selepas pihak pendakwaan bersetuju untuk menyerahkan kepada pihak pembelaan.

Beliau mengemukakan rayuan itu selepas Mahkamah Tinggi menolak permohonannya berhubung surat pelantikan Sri Ram, pada 19 Ogos tahun lepas.

Rosmah menghadapi pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin melalui bekas pembantunya Rizal Mansor sebagai ganjaran bagi membantu Jepak Holdings memperoleh projek bernilai RM1.25 bilion untuk melengkapkan 369 sekolah di luar bandar Sarawak dengan tenaga hibrid solar.