Mahkamah sivil sesuai putuskan  hak  penjagaan anak kepada pasangan lain agama

Mahkamah sivil sesuai putuskan hak penjagaan anak kepada pasangan lain agama

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan bahawa Mahkamah Sivil adalah forum yang sesuai untuk memutuskan mengenai pembubaran perkahwinan dan penjagaan kanak-kanak apabila seorang daripada pasangan memeluk agama Islam dan seorang lagi kekal bukan Islam.

Panel lima hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif membuat keputusan ini dalam kes yang melibatkan seorang kerani S. Deepa dan bekas suaminya, pemandu lori Izwan Abdullah yang memeluk Islam dan menukarkan agama kedua-dua anak mereka yang didakwa tanpa kebenaran Deepa.

Bagaimanapun, mahkamah memberikan hak penjagaan anak berusia lapan tahun kepada bapa dan anak perempuan berumur 10 tahun kepada ibu.

Hakim Raus berkata, mahkamah telah menemu bual kedua-dua kanak-kanak itu, Nabil dan Nur Nabila, sambil menambah bahawa anak lelaki itu menyatakan beliau mahu tinggal bersama bapa dan anak perempuan itu berkata dia mahu bersama ibunya.

Beliau berkata, nampaknya kanak-kanak itu mahu berada bersama ibu bapa mereka.

Nur Nabila kini tinggal dengan ibunya di Johor Bahru manakala anak lelaki mereka tinggal di Kuala Pilah, Negeri Sembilan dengan Izwan yang nama Hindunya N. Viran.

Dalam keputusan sebulat suara, Hakim Raus berkata, mahkamah sivil adalah mahkamah yang betul untuk membuat keputusan mengenai pembubaran perkahwinan pasangan itu dan penjagaan anak-anak mereka kerana perkahwinan mereka dilakukan mengikut upacara agama Hindu dan ditadbir di bawah Akta Membaharui Undang-undang(Perkahwinan dan Perceraian).

Beliau berkata, ia merupakan satu penyalahgunaan proses bagi seorang pasangan yang memeluk Islam memfailkan pembubaran perkahwinan dan hak penjagaan anak-anak di Mahkamah Syariah, sambil menambah perkahwinan orang bukan Islam tidak terbubar apabila salah seorang pasangan memeluk Islam.

Hakim Raus berkata Mahkamah Syariah hanya mempunyai bidang kuasa untuk membuat keputusan mengenai pembubaran perkahwinan dan hak penjagaan kanak-kanak bagi perkahwinan yang dilangsungkan mengikut undang-undang Syariah

TAGS