Mahkamah tangguh kes dakwaan rasuah Guang Eng

Mahkamah tangguh kes dakwaan rasuah Guang Eng

Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini menangguhkan perbicaraan kes dakwaan rasuah Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng hingga 21 Mei.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Hadhariah Syed Ismail berkata penangguhan itu perlu kerana Lim tidak hadir kerana tugas rasmi yang berkaitan dengan pilihan raya umum ke-14.

Sesi sidang hari ini bermula dengan peguam Lim, Gobind Singh memohon maaf kerana Lim tidak dapat hari kerana terbabit dengan mendapatkan kebenaran untuk membubarkan dewan undangan negeri dan bersedia untuk pilihan raya akan datang.

“Saya tidak tahu bila tarikh mengundi, tetapi saya cadangkan pengurusan kes ditetapkan pada Mei,” kata Gobind seperti dilapor Malaysiakini.

Hadhariah kemudian menyoal jika pihak pendakwa mempunyai bantahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Masri Mohd Daud bagaimanapun membantah permohonan penangguhan tersebut kerana tarikh penamaan calon masih belum ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Masri kemudian memberitahu pemberita bahawa mahkamah sepatutnya mendengar keterangan daripada 14 saksi hari ini.

Walau bagaimanapun, Hadhariah berkata mahkamah tidak boleh meneruskan tanpa Lim, kerana ia adalah kes dakwaan rasuah.

Hakim kemudian menetapkan 10 Mei untuk pengurusan kes dan 21 Mei untuk perbicaraan disambung semula.

CATEGORIES
TAGS