Malaysia Dateline

Mahkamah tetapkan 11 Mac permohonan semakan kehakiman oleh 3 ADUN

Permohonan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berhubung nasihat Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menggantung sidang DUN dalam tempoh darurat akan didengar di mahkamah pada 11 Mac ini.

Permohonan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman itu difailkan oleh ADUN Simpang Jeram, Datuk Seri Salahuddin Ayub; ADUN Gurun, Dato’ Johari Abdul dan ADUN Tebing Tinggi, Dr Abdul Aziz Bari.

Permohonan mereka terbabit telah didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Yang Arif Ahmad Kamal Ahmad Shahid pada hari ini.

Ketiga-tiga ADUN masing-masing dari AMANAH, PKR dan DAP berkenaan memfailkan permohonan berhubung deklarasi bahawa nasihat Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menggantung sidang DUN di dalam tempoh darurat adalah tidak berperlembagaan.

Pada awal prosiding hari ini, pihak Peguam Negara memohon supaya pendengaran ditangguhkan atas alasan sementara menunggu permohonan pihaknya untuk memindahkan kes yang difaikan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim dari Mahkamah Tinggi Johor Baharu ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Namun, barisan peguam bagi pemohon-pemohon menyatakan kepentingan awam tidak seharusnya dilewatkan disebabkan permohonan tersebut dan memohon pendengaran hari ini diteruskan.

Sehubungan itu, Yang Arif Hakim Ahmad Kamal Ahmad Shahid bersetuju dengan peguam-peguam pemohon-pemohon dan memerintahkan permohonan didengar hari ini.

Pihak Peguam Negara menghujahkan bahawa Mahkamah Tinggi tidak mempunyai bidangkuasa bersandarkan kepada Artikel 150(6) dan (8) Perlembagaan Persekutuan.

Peguam pemohon-pemohon pula menyatakan isu bidangkuasa seharusnya ditentukan di peringkat Semakan Kehakiman dan bukannya di peringkat ini.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 11 Mac depan bagi keputusan.

Pemohon-pemohon diwakili oleh Datuk Gurdial Nijar, Christopher Leong dan Abdullah Rahman.

Manakala Peguam Kanan Suzanna Atan, Peguam Kanan Narkunavathy Sundareson, Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi dan Mazlifah Ayob mewakili Peguam Negara.