Malaysia Dateline

Mahkamah tetapkan kes Mahathir lawan Najib 6 Ogos depan

Semakan kehakiman Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Khairuddin Abu Hassan terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan mengenai keputusan kes saman pejabat awam yang difailkan terhadap mantan perdana menteri Datuk Ser Najib Razak kini ditetapkan pada 6 Ogos.

Dr Mahathir dan peguam Mohd Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Khairuddin berkata hari ini berlangsung sesi pengurusan kes di mahkamah berikutan permohonan Mahathir dan Khairuddin memfailkan semakan pada 26 April lalu.

“Peguam Najib, Caleb Goh daripada Tetuan Hafarizam Wan Aisha dan Mubarak, telah meminta lanjutan masa untuk menyediakan afidavit jawapan terhadap semakan itu,” kata Haniff.

Berikutan itu, pendaftar Mahkamah Persekutuan Wan Fatimah Zahra Wan Yusuf telah menetapkan 6 Ogos ini bagi mendengar semakan kes berkenaan.

Dilaporkan pada 27 Februari 2018, anggota panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tun Md Raus Sharif menolak permohonan kebenaran rayuan saman misfeasans Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berhubung dakwaan salah guna kuasa dalam jawatan awam ke atas Najib.

Ia selepas Mahkamah Tinggi memutuskan pada 28 April 2016 bahawa Najib bukan pegawai awam.

Pada 30 Ogos tahun lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi bagi menolak kes saman tersebut.

Panel tiga anggota Mahkamah Rayuan menegaskan keputusan Mahkamah Tinggi yang bersetuju bahawa Najib tidak boleh dianggap sebagai penjawat awam, dan saman RM2.642 bilion tidak mempunyai merit lapor Malaysiakini.