Mahkamah tidak benarkan ikat jamin Jamal ke penjara Sungai Buloh

Mahkamah tidak benarkan ikat jamin Jamal ke penjara Sungai Buloh

Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ampang, hari ini atas pertuduhan melarikan diri daripada jagaan pihak polis di Hospital KPJ Ampang Puteri, 25 Mei lalu.

Jamal,48, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Muhamad Firdaus Sadina Ali.

Memetik hmetro online hari ini, mengikut pertuduhan, Jamal didakwa dengan sengaja melepaskan diri daripada jagaan pihak polis di mana dia ditahan secara sah di sisi undang-undang.

Dua daripada tiga kesalahan itu adalah mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan (ceroboh) yang dituduh di Mahkamah Majistret Ampang pada Mei lalu, selain dituduh di bawah Seksyen 290 kanun sama (khianat) di Mahkamah Majistret Shah Alam, pada bulan sama.

Kesalahan itu didakwa dilakukan Jamal di Hospital KPJ Ampang Puteri antara jam 2 hingga 3 petang, 25 Mei lalu mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun dan denda atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

Mahkamah tidak membenarkan jaminan dan menetapkan 30 Julai ini sebagai sebutan semula kes.

Jamal kemudian dibawa ke Penjara Sungai Buloh selepas mahkamah menolak permohonan jamin.

Dalam prosiding itu, pihak pendakwaan diketuai Pengarah Pendakwaan Negeri Selangor, Datuk Razali Che Ani selain dua Timbalan Pendakwa Raya, Faten Hadni Khairuddin dan Mahathir Mohd Khairuddin.

Manakala, Jamal diwakili peguam Izzat Zabir Sariff.

Pada 26 Mei lalu, media melaporkan Jamal dipercayai menghilangkan diri ketika proses dokumentasi jaminan mahkamah sedang disiapkan berhubung tiga pertuduhan yang dihadapinya di Hospital Pakar Ampang Puteri.

9.0
OVERALL SCORE
: 8.0
2 user votes x 9.5