Malaysia Dateline

Mahkamah Tinggi arahkan saman Kamarul dibicarakan di Mahkamah Rendah

Mahkamah Tinggi Malaya di Kuala Lumpur hari ini telah mengarahkan saman yang difailkan oleh pensyarah kanan Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff terhadap Malaysia Dateline dan Arif Atan untuk dibicarakan di mahkamah lebih rendah iaitu di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Terdahulu, Kamarul telah memfailkan saman fitnah dengan menamakan Malaysia Dateline sebagai defendan pertama dan defendan kedua, Arif Atan atas kapasitinya sebagai pengarang kerana telah menyiarkan enam artikel daripada pelbagai pihak yang dikatakan memfitnah beliau di portal berita tersebut.

Arahan itu dikeluarkan oleh Hakim YA Tuan Quay Chew Soon setelah beliau bertanyakan kepada peguam Kamarul, Harris Mohan Abdullah sama ada tuntutan tersebut boleh dibicarakan di Mahkamah Sesyen.

Walaupun peguam Kamarul menyatakan bahawa kes tersebut sudah di peringkat lanjutan untuk dibicarakan tetapi Hakim tetap mengarahkan agar kes dibicarakan di Mahkamah Sesyen selepas peguam Kamarul memohon secara lisan untuk perpindahan kes tanpa perlu menfailkan permohonan bertulis dan setelah tidak dibantah oleh peguam defendan-defendan.

Tiada alasan lanjut diberikan mengapa kes tersebut perlu dibicarakan di Mahkamah Sesyen sama ada kerana isu bidangkuasa mahkamah atau kerana kes itu tidak signifikan untuk dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Prosiding di Mahkamah Sesyen hanya akan berlangsung setelah perintah bertulis berkaitan arahan tersebut dimeteraikan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ditamatkan.

Kamarul diwakili oleh peguam Mohd Harris Mohan Abdullah dan defendan-defendan diwakili oleh Dr Zulqarnain Lukman.