Mahkamah Tinggi Ipoh tolak saman fitnah Razman terhadap Mohd Fitri, Mohd Faeez

Mahkamah Tinggi Ipoh tolak saman fitnah Razman terhadap Mohd Fitri, Mohd Faeez
Mohd Faeez Azhar, Faiz Fadzil dan Mohd Fitri Asmuni selepas mendengar keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini.

Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini menolak saman fitnah yang dikemukakan Pesuruhjaya Pas Perak Razman Zakaria terhadap Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Perak Mohd Fitri Asmuni dan Pengarah Komunikasi Pemuda AMANAH Negeri Perak, Muhammad Faeez Azhar.

Defenden Mohd Fitri dan Muhammad Faeez diwakili peguam Faiz Fadzil yang juga Timbalan Ketua Pemuda AMANAH.

Razman Zakaria

Pada 2017 Razman mengemukakan saman fitnah terhadap Mohd Fitri dan Faeez Azhar susulan ulasannya kepada Faeez Azhar mengenai kes yang membabitkan saman fitnah Timbalan Pengerusi AMANAH Perak Datuk Seri Mond Nizar Jamaluddin yang masih berjalan di mahkamah kerana Mohd Fitri adalah peguam kepada Mohd Nizar.

Razman turut mengheret Faeez Azhar dalam saman fitnah sama sebagai defenden kerana menyiarkan berita mengenai ulasan Mohd Fitri di dalam portal Malaysiadateline pada 2017 lalu.

Pada masa ini kes saman fitnah membabitkan Razman dan Mohd Nizar masih lagi berjalan dengan keputusan mahkamah menetapkan Razman perlu membayar ganti rugi RM200,000 kepada Mohd Nizar.

Menurut Mohd Fitri, Razman masih lagi tidak menjelaskan bayaran ganti rugi ditetapkan Mahkamah Sesyen Ipoh pada November 2018 lalu, setelah kes rayuan untuk membatalkan sabitan mahkamah membayar ganti rugi RM200,000 ditolak Mahkamah Tinggi Ipoh.

“Kes rayuan YB Razman yang diarahkan untuk membayar RM200 ribu kepada YB Nizar masih belum lagi diselesaikan.

“Perbicaraan di Mahkamah Rayuan telahpun ditetapkan awal Oktober ini.

“Tugas saya masih belum selesai. Doakan kes tersebut berpihak kepada YB Nizar nanti. Ameen,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Razman disaman oleh Mohd Nizar ekoran kenyataan dibuatnya mengenai bekas Menteri Besar Perak itu.

Kenyataan itu disiarkan akhbar Sinar Harian edisi Perak pada 2 Jun 2015 dengan tajuk “Pendekatan Nizar Mirip DAP”.