Malaysia Dateline

Mahkamah Tinggi tolak permohonan Adly cabar pembubaran DUN

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan bekas ketua menteri Melaka, Adly Zahari untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman bagi mencabar keabsahan pembubaran Dewan Undangan Negeri ‘DUN) Melaka bulan lalu.

Hakim Datuk Noorin Badaruddin berkata, proses membuat keputusan untuk membubarkan DUN Melaka bukan perkara yang boleh dicabar di mahkamah.

Katanya, keputusan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam bagi membubarkan DUN tidak boleh dipertikaikan.

“Justeru, pembubaran itu tidak boleh dipertikaikan oleh mahkamah. Ia tidak boleh diubah menerusi semakan kehakiman,” katanya.

“Pembubaran DUN adalah subjek yang tidak boleh dijustifikasikan dan semakan kehakiman tidak boleh diberikan” tambahnya lagi.

Pada 22 Oktober lalu, Adly memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman untuk membatalkan pembubaran DUN.

Ia susulan tindakan empat Adun yang diketuai oleh wakil rakyat Umno Sungai Udang, Idris Haron, pada 4 Oktober lalu yang mengumumkan keputusan mereka untuk menarik balik sokongan kepada ketua menteri Melaka Sulaiman Md Ali,

Tiga yang lain ialah Nor Azman Hassan (Umno-Pantai Kundor), Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) dan Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu).

Susulan itu, Sulaiman kehilangan majoriti dan Yang Dipertua Negeri Melaka Mohd Ali Rustam membuat keputusan untuk membubarkan DUN, membuka jalan untuk pilihan raya negeri pada 20 November.