Mahkamah Tinggi tolak saman Pas Batu tuntut bangunan

Pas dan AMANAH berebut bangunan. Mahkamah Tinggi menolak saman Pas hari ini.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak saman Pas kawasan Batu, Kuala Lumpur bagi mengambil alih bangunan miliknya yang kini diuruskan oleh bekas AJKnya yang kini menyertai AMANAH.

Hakim Ahmad Zaidi Ibrahim juga memutuskan Pas Batu tidak berhak ke atas bangunan itu berdasarkan geran tapaknya dan perjanjian antara penamanya dengan empat defendan.

Hakim juga memerintahkan plaintif, iaitu Pas Batu dan Yang Dipertuanya (YDP), Azhar Yahya yang membuat saman itu membayar kos RM3,000 kepada kesemua defendan.

Dalam kes ini, pemilik berdaftar bangunan Mansur Ali, Pas Batu dan YDPnya menyaman empat penama yang menguruskan bangunan ini menuntut agar bangunan itu diserahkan kembali kepada Pas.

Mahkamah hari ini menolak Pas Batu dan YDPnya sebagai plaintif dan mengekal Mansur.

Menurut peguam defendan, Ahmad Zamry As’ad, semasa perpecahan belum berlaku, Pas Batu bermasalah dalam menguruskan bangunan ini ekoran hutang dengan bank.

Zamri As’ad

Hasilnya empat AJK ini telah berusaha membayar pinjaman bank itu dengan syarat mereka boleh menguruskan bangunan itu untuk disewa.

Perjanjian sewa ini dibuat antara penama Pas iaitu Mansur dengan empat defendan ini.

“Pas Batu menyaman empat bekas AJK Pas kawasan ini yang menjadi penama perjanjian ini kerana kesemua mereka telah meninggal Pas dan menyertai AMANAH,” kata Zamry.

Peguam kepada plaintif dalam kes ini adalah Wan Rohimi Wan Daud.

Pertikaian mengenai bangunan ini berlaku selepas Pas berpecah dan tertubuhnya AMANAH.

Pas sebelum ini mendakwa, papan tanda bangunan ini telah dimusnahkan oleh penyokong AMANAH.

8.3
OVERALL SCORE
6 user votes x 9.7
CATEGORIES