Malaysia Dateline

Mahkamah tolak permohonan sambung reman Wan Ji

Mahkamah Majistret hari ini menolak permohonan polis untuk menyambung reman selama tiga hari ke atas Pegawai Penerangan di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Wan Ji Wan Husin yang ditahan Jumaat lalu.

Peguamnya, Saiful Izham Ramli dan Zulhazmi Shariff berkata Wan Ji akan dibebaskan hari ini dengan jaminan polis.

“Majistret menolak permohonan polis untuk menyambung tempoh reman Wan Ji selama tiga hari. Wan Ji akan dibebaskan hari ini,” kata sekretariat Pemuda PKR dalam satu kenyataan.

Wan Ji ditahan polis selepas menyampaikan khutbah Jumaat di Masjid Jalan Sembilang, Seberang Jaya Pulau Pinang, Jumaat lalu dan dibawa ke ibu pejabat polis Dang Wangi di Kuala Lumpur bagi membantu siasatan ke atas laporan yang mendakwa beliau menghina institusi diraja Melayu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun sebelum itu mengesahkan Wan Ji ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana disyaki menghina sultan.

Fuzi juga berkata tindakan diambil berdasarkan beberapa laporan yang dibuat dan polis sebelum ini tidak dapat mengesan Wan Ji.

Sebelum ini pernah tersebar rakaman video pada 2013 yang menunjukkan Wan Ji, yang juga ketua Biro Agama Pemuda PKR, memberi satu kuliah yang menyentuh kedudukan raja-raja Melayu dalam sistem pentadbiran negara.

Wan Ji turut pernah didakwa di mahkamah pada Oktober 2014 ekoran satu kenyataan di Facebook yang menghina Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Beliau kemudian mengemukakan kes ke Mahkamah Persekutuan untuk mencabar kesahihan undang-undang itu di sisi Perlembagaan Persekutuan.

Kesnya dilaporkan masih dalam perbicaraan.