Mahkamah tolak rayuan 4 aktivis pelajar isyhtihar APA tidak berperlembagaan

Mahkamah tolak rayuan 4 aktivis pelajar isyhtihar APA tidak berperlembagaan

Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan dikemukakan empat aktivis pelajar terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan mereka untuk mengisytiharkan Akta Perhimpunan Aman 2012 (APA) sebagai tidak berperlembagaan.

Panel tiga hakim dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif turut memerintahkan kes Muhammad Safwan Anang, Ehsan Bukharee Badarul Hisham, Adam Adli Abd Halim dan Muhamed Bukhary Mohamed Sofian terus dibicarakan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

“Saya fikir kami (panel) tidak wajar menggalakkan semua ini (permohonan), anda perlu habiskan masa di mahkamah, biar perbicaraan diteruskan,” kata Hakim Md Raus yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Seri Zakaria Sam dan Hakim Datuk Dr Prasad Sandosham Abraham.

Keempat-empat mereka merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 23 Mei, 2016 yang menolak permohonan mereka untuk mengisytiharkan Seksyen 4(2)(c) dan 4(3) PAA berhubung penyertaan dalam perhimpunan di tempat larangan, adalah tidak berperlembagaan, dan untuk merujukkan isu perlembagaan ke Mahkamah Persekutuan.

Hakim Md Raus berkata, oleh kerana kes di peringkat pembelaan, perbicaraan patut diteruskan dan pihak pembelaan masih mempunyai masa untuk memfailkan permohonan (di mana ada rayuan).

Panel membuat keputusan itu selepas menerima bantahan awal dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Awang Armadajaya Awang Mahmud terhadap rayuan itu.

Mahkamah Sesyen sebelum ini menetapkan 27 Feb untuk sambung bicara.

Pada 2013, Muhammad Safwan, 28, Ehsan Bukharee, 26, Adam Adli, 28, dan Muhamed Bukhary, 27, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen terhadap pertuduhan mengambil bahagian dalam perhimpunan di tempat larangan, di Masjid Ar Rahman, dekat Universiti Malaya di Kuala Lumpur pada 2013.

Pada awal prosiding hari ini, Awang Armadajaya dalam hujahnya berkata permohonan itu sepatutnya dikemukakan di Mahkamah Sesyen sebelum perbicaraan bermula, tetapi dalam kes ini, perayu telah memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi semasa kes pembelaan.

Katanya di mahkamah lebih rendah (Mahkamah Sesyen), permohonan untuk mengisytiharkan sebarang undang-undang sebagai tidak berperlembagaan sepatutnya dibuat mengikut Seksyen 30 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Sementara peguam Eric Paulsen yang mewakili semua perayu, dalam hujahnya memberikan contoh kes Karpal Singh, bahawa Mahkamah Tinggi mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan berkaitan isu perlembagaan.

Katanya Mahkamah Sesyen tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar isu berkaitan perlembagaan.

“Sebab itu kenapa kita ada Seksyen 30 Akta Mahkamah Kehakiman di Mahkamah Sesyen,” jawab Hakim Md Sharif.

TAGS