Malaysia Dateline

Mahkamah tolak rayuan Khairy ketepi saman fitnah Anwar

Mahkamah Rayuan hari ini menolak permohonan bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin untuk mengetepikan saman fitnah yang difailkan Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadapnya.

Ia selepas panel tiga hakim dipengerusikan oleh Datuk Lee Swee Seng bersidang bersama Datuk Darryl Goon Siew Chye dan Datuk Ghazali Cha sebulat suara mengekalkan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi pada 2017 yang membenarkan saman fitnah Anwar terhadap Khairy.

Mahkamah Rayuan turut memerintahkan Khairy membayar ganti rugi am sebanyak RM150,000.

Hakim Darryl Goon Siew berkata, hujah yang dikemukakan Khairy untuk menangkis saman itu gagal.

Sebelum ini, Anwar yang juga Presiden PKR menyaman Khairy, yang ketika itu Menteri Belia dan Sukan serta Naib Ketua Pemuda Umno, pada 7 Mac 2008.

Beliau mendakwa Khairy membuat kenyataan memfitnahnya dalam ceramah di Lembah Pantai pada 20 Februari tahun sama dan menyebabkan klip video bertajuk ‘Anwar and kin no threat’ disiarkan di portal berita.

Khairy didakwa menyebut mengenai perlakuan tidak bermoral dalam ceramah di Lembah Pantai.