Malaysia Dateline

Mahkamah tolak rayuan Najib tangguh perbicaraaan kes 1MDB

Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini menolak rayuan yang dikemukakan pendakwa raya dan Datuk Seri Mohd Najib Razak untuk menangguhkan perbicaraan kes empat tuduhan rasuah dan 21 tuduhan terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram (AMLA) berhubung dana 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

Keputusan itu dibuat panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Datuk Abdul Rahman Sebli selepas mendengar hujahan Peguam Negara Tommy Thomas bagi pihak pendakwa raya dan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib.

Korum yang turut dianggotai Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Hasnah Mohammed Hashim sebaliknya mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur supaya perbicaraan kes tersebut bermula seperti dijadualkan pada 19 Ogos ini.

Muhammad Shafee bagaimanapun memaklumkan mahkamah, pihaknya akan mengemukakan notis rayuan ke Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan tersebut hari ini.

Pada 18 Julai lalu Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Collin Lawrence Sequerah menolak notis usul yang dikemukakan pasukan pendakwa raya yang mengendalikan perbicaraan kes SRC supaya perbicaraan kes itu ditangguhkan sehingga perbicaraan kes SRC International selesai.