Malaysia Dateline

Mahkamah tolak saman Azeez terhadap Lim Guan Eng

Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini menolak permohonan saman Ahli Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim terhadap Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berhubung projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

Beliau diarahkan membayar kos sebanyak RM50,000, lapor FMT.

Dalam penyataan tuntutannya, Azeez mendakwa Guan Eng mengaitkan beliau dengan bayaran perundingan RM3 juta untuk projek terbabit.

Guan Eng didakwa membuat kenyataan itu pada sidang media pada 2018.

Azeez memohon ganti rugi am dan teladan serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Timbalan Pendaftar Uma Devi Loganathan ketika membacakan keputusan hakim Rosilah Yop dalam kamar hari ini berkata, Azeez tidak mempunyai alasan yang memadai dan gagal mengemukakan bukti dalam kes itu, lapor portal berita itu.